Pejabat Peguam Negara (AGC) akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan kerajaan bertanggungjawab dalam kes penculikan Pastor Raymond Koh.
“Setelah meneliti dan mempertimbangkan keputusan Yang Arif Hakim, Jabatan ini akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan terhadap keputusan tersebut,” kata AGC pada satu kenyataan hari ini.
Semalam, hakim Su Tiang Joo mengarahkan kerajaan membayar RM10,000 sehari kepada Koh melalui akaun amanah sehingga pastor itu ditemui semula. Bayaran itu akan dikira bermula 3,187 hari lalu, iaitu pada 13 Februari 2017 — tarikh Koh diculik.
Selain itu, mahkamah turut mengarahkan bayaran ganti rugi sebanyak RM4 juta kepada Koh, serta RM1 juta lagi bagi ganti rugi teruk (aggravated damages) atas kelewatan berpanjangan dalam usaha mengesan beliau, dan tambahan RM1 juta bagi tindakan tidak berperlembagaan yang diambil terhadapnya oleh pihak defendan.
Hakim juga mengarahkan polis membuka semula siasatan terhadap kes tersebut dan melaporkan kemajuan penyiasatan kepada peguam negara setiap dua bulan.
Dalam penghakimannya, Su mendapati tindakan utama penculikan Koh menunjukkan penglibatan pihak negara dan keadaan sekitar kejadian, termasuk usaha menyorokkan maklumat serta persamaan dengan kehilangan Amri Che Mat, secara keseluruhan menyokong dakwaan plaintif.
Mahkamah turut memerintahkan pampasan berasingan kepada isteri Koh, Susanna Liew — plaintif kedua dalam saman itu — sebanyak RM2 juta bagi ganti rugi am dan ganti rugi teruk atas tekanan mental yang dialaminya, serta tambahan RM1 juta lagi sebagai ganti rugi teladan (exemplary damages).
Secara keseluruhan, pasangan itu dianugerahkan pampasan berjumlah RM5 juta, selain bayaran ganti rugi am harian RM10,000 yang sedang berjalan — dengan jumlah keseluruhan yang telah terkumpul setakat ini mencecah RM31.87 juta.
Koh, 62 tahun, diculik pada siang hari oleh sekumpulan lelaki di sepanjang Jalan SS4B/10, Petaling Jaya ketika dalam perjalanan ke rumah rakannya.
Rakaman CCTV yang dipercayai berkaitan kejadian itu menunjukkan sekurang-kurangnya 15 lelaki dan tiga kenderaan utiliti sukan (SUV) hitam terlibat dalam penculikan berkenaan.
Pada tahun 2019, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) memutuskan bahawa Koh dan Amri merupakan mangsa kehilangan paksa (enforced disappearance) yang dilakukan oleh anggota Cawangan Khas Bukit Aman.
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi ketika itu menafikan dakwaan bahawa dia mengarahkan penculikan tersebut semasa mengetuai Kementerian Dalam Negeri ketika kejadian berlaku.





