PAS Perak hari ini menggesa Menteri Besar, Saarani Mohamad, menyatakan pendirian berhubung langkah kawalan penjualan arak di premis seperti kedai runcit dan serbaneka di kawasan majoriti penduduk beragama Islam di negeri itu.
Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, berkata pandangan Saarani perlu ekoran saranan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, agar pihak berkuasa tempatan (PBT) mengekalkan dasar sedia ada (status quo) berkaitan isu penjualan minuman beralkohol.
“Menteri Besar Perak tidak boleh berdiam diri kerana kenyataan Datuk Bandar Ipoh, Rumaizi Baharin, mewakili hasrat orang Melayu Islam untuk menjaga generasi masa depan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Nga semalam dilapor berkata dasar sedia berkaitan peraturan penjualan minuman keras wajar dikekalkan bagi menjaga keharmonian dan hubungan masyarakat berbilang kaum serta mengelakkan sentimen politik.
Tegas Adun Gunung Semanggol itu, langkah kawalan penjualan arak adalah selaras dengan semangat perlembagaan negara yang menyatakan Islam sebagai agama negara.
“Ia juga selaras peraturan sedia ada susulan bantahan penduduk tempatan. Dalam isu ini, Datuk Bandar Ipoh mewakili pentadbiran kerajaan Perak yang diketuai menteri besar.
“PAS Perak mendesak menteri besar menyokong pendirian Datuk Bandar Ipoh untuk menyekat penjualan arak di kawasan majoriti Melayu,” katanya.
Menurut Razman lagi, isu arak bukan hanya melibatkan persoalan hak asasi peminum sahaja malah hak mereka yang mungkin menjadi mangsa pemandu mabuk.
“Apakah orang Islam tidak punyai hak asasi dalam negara mereka sendiri?” soalnya.
“PAS Perak akan bersama menteri besar jika beliau menyokong dan mempertahankan Datuk Bandar Ipoh dalam isu tersebut,” tambahnya.
Beberapa hari lalu, Rumaizi berkata, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) meluluskan dasar untuk mengkaji tuntutan penduduk dari kawasan majoriti Muslim sebelum larangan penjualan minuman keras dikuatkuasakan.
Menurutnya, sekitar 2020 dan 2021, larangan itu dilaksanakan di kawasan Gugusan Manjoi - yang menjadi petempatan orang Melayu terbesar - susulan bantahan besar-besaran penduduk setempat.
Bagaimanapun kenyataan Rumaizi itu segera mengundang kecaman MCA.