Perdana Menteri Anwar berkata kadar tol mungkin boleh diturunkan jika kos pembangunan lebuh raya dapat dikawal, selain tidak berlakunya ketirisan dan rasuah.
Anwar berkata kos pembangunan lebuh raya sebenarnya boleh dikurangkan namun meningkat disebabkan terlalu banyak bayaran yang dikeluarkan untuk proses kelulusan.
“Ini mesti dihentikan. Saya percaya Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk projek yang seterusnya, pastikan kelulusan disegerakan. Ini boleh berlaku kalau semua bertanggungjawab dan merasakan ini (projek lebuh raya) projek rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) lestari yang pertama di lebuh raya Malaysia di R&R Seremban (Arah Selatan) Lebuhraya Utara-Selatan, di Seremban hari ini.
Turut hadir Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi dan timbalannya, Ahmad Maslan, Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar dan Pengerusi LLM, Hasni Mohammad.





