Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo menafikan dakwaan yang dia diminta bercuti daripada tugasnya sebagai Exco.
Jagdeep sebaliknya berkata, dia sendiri memohon cuti atas tunjuan mendapatkan rawatan kesihatan di Kuala Lumpur.
"Saya kini berada di Kuala Lumpur untuk mendapatkan pandangan kedua mengenai (kecederaan) buku lali saya. Meskipun sudah dua tahun, nampaknya masalah itu semakin teruk.
"Anda boleh melihat saya berjalan terhincut-hincut dan kadang-kadang perlu dibantu oleh pegawai saya untuk naik ke pentas semasa acara," katanya seperti dipetik Harian Metro, hari ini.
Jagdeep berkata dia juga ingin mendapatkan rawatan bagi psoriasis - penyakit yang memberi kesan kepada kulit - yang dialaminya.
Sementara itu, seorang pegawainya berkata Jagdeep juga ingin meluangkan lebih masa bersama dua anaknya yang baru kembali dari United Kingdom.
"Beliau tidak diarah oleh Ketua Manteri untuk mengambil cuti. Kami pegawai yang menasihatinya supaya mengambil cuti dan di samping itu untuk periksa jika skru di kakinya boleh dikeluarkan," katanya.
Malaysiakini telah menghubungi Jagdeep dan Exco Pulau Pinang yang lain berhubung perkara itu.
Dinasihat untuk bercuti
Terdahulu, The Star melaporkan seorang Exco Pulau Pinang dinasihatkan untuk bercuti atas dasar masalah peribadinya telah memberi kesan kepada prestasi kerja.
Laporan itu memetik sumber sebagai berkata Exco tersebut juga tidak masuk ke pejabat hari ini.
"Dia diberi pelepasan sementara dan diminta untuk menguruskan masalahnya. Ada cakap-cakap yang dia mungkin digugurkan daripada Exco...," kata seorang sumber seperti dipetik.
Seorang lagi sumber berkata Ketua Menteri Chow Kon Yeow dijangka membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat mingguan Exco esok.
Kata mereka lagi, DAP telah memulakan proses "pembersihan" sebelum pengundian parti peringkat negeri pada September ini.
"Sebagai pengerusi negeri, Chow dijangka berdepan saingan sengit daripada ahli yang bersekutu dengan seorang pemimpin senior.
"Dia mesti ada pasukan yang kuat untuk mengisi barisan 15 ahli jawatankuasa negeri," kata mereka.





