Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama (PKPU) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tampil mempertahankan jabatan itu berhubung dakwaan kelewatan siasatan terhadap Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH).
Presidennya, Mohd Ajib Ismail mengulas kenyataan ahli akademik Abu Hafiz Salleh Huddin yang menggesa agar Jakim dirombak, selepas dikatakan lewat bertindak mengenai isu GISBH.
Mohd Ajib dipetik Berita Harian sebagai berkata bahawa kenyataan Abu Hafiz mengenai perananan Jakim dalam isu GISBH menimbulkan kekeliruan dan persepsi negatif dalam kalangan orang ramai.
Mohd Ajib menegaskan bahawa Jakim bukan sebuah agensi yang berperananan dalam penguatkuasaan undang-undang.
"Oleh itu, isu membabitkan penguatkuasaan undang-undang, seperti kes GISBH, bukan di bawah bidang kuasa Jakim.
"Bagaimanapun, Jakim sentiasa bekerjasama erat dengan agensi penguatkuasaan seperti PDRM dan pihak berkuasa agama negeri bagi memastikan segala tindakan yang diambil berlandaskan undang-undang yang berkuat kuasa," katanya.
Jelas Mohd Ajib, penting untuk difahami bahawa Jakim adalah agensi agama persekutuan di bawah Jabatan Perdana Menteri yang bertindak menyelaras pengurusan hal ehwal Islam dengan mandat daripada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).
Katanya, Jakim juga bertanggungjawab kepada Kabinet dan melaksanakan tugas berdasarkan peruntukan undang-undang serta garis panduan sebagai sebuah agensi kerajaan.
Semalam, Abu Hafiz yang juga pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa berkata ada beberapa pihak berkuasa agama tidak mahu memberi perhatian serius kepada dapatan dikumpulkan pengkaji serta aktivis yang memantau GISBH.
Katanya, pihak yang menjalankan pemantauan tersebut terpaksa bertemu dengan Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin untuk memintanya menyuarakan isu tersebut melalui ceramah dan program audio siarnya, selepas gagal meyakinkan pihak berkuasa agama untuk bertindak.
"Perlu diingat, kajian dan dapatan tentang GISB di Jakim telah dibuat lebih awal dari 2013 lagi.
"Untuk menyatakan Jakim tiada maklumat berkenaan GISB adalah amat naif dan bodoh," katanya.
Isu mengenai GISBH menjadi tumpuan selepas polis menyelamatkan 402 kanak-kanak berusia setahun hingga 17 tahun disyaki menjadi mangsa eksplotasi, pengabaian dan penganiayaan di premis dipercayai milik GISBH, dalam serbuan di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.
Ketua Polis Negara Razarudi Husain berkata daripada risikan dan keterangan yang diperoleh, mangsa diajar meliwat, seterusnya diliwat oleh penjaga dan dipaksa meliwat penghuni kanak-kanak yang lain.
GISBH menafikan dakwaan berkenaan dan kaitan dengan premis yang diserbu.
Syarikat itu kini disiasat bawah Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611), Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).
Seramai 171 suspek berusia antara 17 hingga 64 tahun juga ditahan dan kini direman bagi membantu siasatan.





