Israel menyatakan pada Rabu bahawa mereka berjaya membunuh ketua baharu sayap bersenjata Hamas di Gaza, Mohammed Odeh, dalam satu serangan udara pada Selasa lalu meskipun gencatan senjata masih berkuat kuasa di wilayah itu, lapor AFP.
Tentera Israel dan agensi keselamatan domestik Shin Bet dalam kenyataan bersama memaklumkan Mohammed Odeh terbunuh selepas dilantik mengetuai Briged Ezzedine Al-Qassam susulan kematian Ezzedine al-Haddad pada 15 Mei lalu.
Sejak serangan Hamas pada Oktober 2023, Israel secara sistematik menyasarkan pemimpin kumpulan itu, sama ada di Gaza mahupun di seluruh rantau berkenaan.

Odeh adalah ketua keempat Briged Ezzedine Al-Qassam yang didakwa dibunuh oleh Israel sejak permulaan peranang Gaza.
Dalam satu kenyataan yang mengesahkan Odeh sebagai ketua stafnya, sayap bersenjata Hamas memaklumkan dia terkorban dalam serangan Israel pada malam Selasa.
"Dengan penuh rasa bangga, penghormatan, maruah, dan penentangan, Briged Ezzedine Al-Qassam mengumumkan syahidnya salah seorang pemimpin utama penentangan Palestin," menurut kenyataan Hamas itu, sambil menambah bahawa dia terkorban "dalam operasi pembunuhan pengecut yang mengakibatkan dirinya, isteri, dan anak-anak mereka syahid."
Seorang pegawai Hamas kemudian memberitahu AFP bahawa tiga anak Odeh terkorban, termasuk dua lelaki dewasa dan seorang gadis berusia bawah 18 tahun.
Pengebumian Odeh dan keluarganya berlangsung pada Rabu di Bandar Gaza, dengan kehadiran ratusan pelayat, lapor seorang wartawan AFP.

Sepucuk senapang AK-47 diletakkan di atas jenazah Odeh ketika orang ramai membawanya ke masjid untuk solat jenazah.
Sambil menyatakan bahawa Odeh terkorban semasa perayaan Aidiladha, Bassem Abu Odeh, seorang sepupunya, memberitahu bahawa si mati dan keluarganya "bersedia untuk menyambut Aidiladha, tetapi sebaliknya Zionis penjenayah menyambut dan menyasarkan mereka dengan peluru berpandu."
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz menyatakan Odeh "dihantar untuk menemui rakan-rakannya di lubuk neraka."
Odeh sekian lama menjadi ketua perkhidmatan risikan Hamas dan merupakan salah seorang tokoh paling kanan kumpulan itu yang masih hidup di Semenanjung Gaza.
Pada malam Rabu, tentera Israel menyatakan ia "menyerang dua pejuang utama Hamas di utara Semenanjung Gaza", dengan media Israel melaporkan serangan itu menyasarkan seorang komander briged Hamas dan seorang timbalan komander.

Agensi pertahanan awam Gaza, yang beroperasi sebagai perkhidmatan menyelamat di bawah Hamas, menyatakan tujuh orang terkorban dan lebih 20 yang lain cedera dalam serangan di tengah Bandar Gaza.
'Disasarkan untuk mati'
Israel sebelum ini membunuh bekas ketua politik Hamas, Ismail Haniyeh dan Yahya Sinwar, yang dianggap secara meluas sebagai dalang serangan Hamas pada 7 Okt 2023 yang mencetuskan peranang Gaza yang memusnahkan.
Mereka juga membunuh Mohammed Deif, komander lama sayap bersenjata Hamas, serta Mohammed Sinwar, yang menggantikan abangnya Yahya Sinwar sebagai ketua Gaza.
"Kami komited untuk menghapuskan sesiapa sahaja yang mengetuai pembunuhan beramai-ramai pada 7 Oktober, dan itulah yang akan kami lakukan: mereka semua disasarkan untuk mati, di mana sahaja mereka berada," kata Katz dalam hantarannya di X.
Jurucakap tentera Israel berbahasa Arab, Leftenan Kolonel Ella Waweya, menyatakan "jawatan komander sayap tentera Hamas menjadi pekerjaan yang paling singkat tempohnya di Gaza."

"Persoalannya bukan lagi siapa yang seterusnya – tetapi berapa lama masa yang mereka ada lagi," tulisnya di X.
Menteri Pertahanan Katz mengulangi matlamat Israel untuk menamatkan pemerintahan Hamas ke atas wilayah Palestin itu dan membayangkan rancangan untuk pemindahan paksa penduduknya.
"Rancangan untuk penghijrahan sukarela dari Gaza juga akan dilaksanakan – semuanya akan dilakukan pada masa yang sesuai dan dengan cara yang betul," katanya.
Pemindahan penduduk Gaza ialah sebuah projek yang disokong oleh Menteri Kewangan berhaluan kanan, Bezalel Smotrich.
Presiden AS Donald Trump sebelum ini menyatakan sokongan terhadap idea itu sebelum meninggalkannya.

Pada Februari, Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hak Asasi Manusia, Volker Turk, mengecam rancangan yang "bertujuan untuk membuat perubahan demografi kekal di Gaza."
Keganasan harian
Sekutu Hamas di Lubnan, Hizbullah mengeluarkan kenyataan takziah atas pembunuhan Odeh, dengan menyatakan bahawa semua cubaan Israel "untuk melemahkan penentangan ini dengan menyasarkan kepimpinan dan pejuangnya akan berakhir dengan kegagalan."
Gaza kekal dicengkam keganasan setiap hari, dengan kedua-dua tentera Israel dan Hamas menuduh satu sama lain melanggar gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 10 Oktober.

Lebih 900 orang dibunuh oleh Israel sejak gencatan senjata, menurut kementerian kesihatan Gaza, yang beroperasi di bawah kuasa Hamas dan angka-angkanya dianggap boleh dipercayai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Israel masih mengekalkan kawalan ke atas 60 peratus Semenanjung Gaza, termasuk semua laluan masuk dan keluar, manakala penduduk tertumpu di kawasan pantai.





