29.6 C
Kuala Lumpur
Friday, May 29, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Pelajar 11A ‘gagal’ masuk matrikulasi rupanya masalah borang

    Shopee Sale

    Masalah berkaitan dokumen dan pengisian borang dikatakan menjadi punca seorang pelajar cemerlang 11A yang tular sebelum ini didakwa gagal mendapat tempat ke program matrikulasi.

    Menurut Adun Sentosa, Dr Gunaraj George, pelajar terbabit sebenarnya telah menerima tawaran melanjutkan pengajian ke Kolej Matrikulasi Selangor selain memperoleh biasiswa Petronas.

    Katanya semakan mendapati beberapa kesilapan dalam proses permohonan menyebabkan urusan tawaran pendidikan pelajar tersebut tergendala.

    “Saya mengambil maklum mengenai video TikTok oleh pengguna @kanithan yang tular baru-baru ini berkaitan dakwaan seorang pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang 11A tidak diberikan peluang melanjutkan pelajaran ke institusi kerajaan.

    Jangan terburu-buru buat kesimpulan

    “Setelah semakan dibuat, pelajar tersebut sebenarnya telah menerima tawaran melanjutkan pengajian ke Kolej Matrikulasi Selangor. Selain itu, dia juga telah mendapat peluang biasiswa daripada Petronas,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

    Sebelum ini, video dimuat naik oleh Kaniyamuthan mengundang perhatian selepas dia mendakwa anak perempuannya, Thenmalar, gagal mendapat tempat dalam program matrikulasi walaupun memperoleh keputusan 11A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sebaliknya hanya menerima tawaran ke politeknik.

    Dalam video sama, dia turut menjelaskan terdapat masalah berkaitan dokumen dan pengisian borang yang menyebabkan permohonan anaknya tertangguh.

    “Anak perempuan saya mendapat 11A dalam SPM dan menerima biasiswa Petronas, tetapi dimaklumkan ada masalah dengan borang yang dihantar.

    “Kami perlu mengisytiharkan slip pendapatan. Saya menjalankan perniagaan manakala isteri saya bekerja. Jadi ada sedikit masalah di situ,” kata bapa itu.

    Menurutnya, pihak keluarga kemudian diminta membuat pengisytiharan baru dan mendapatkan pengesahan Pesuruhjaya Sumpah sebelum proses permohonan dapat diteruskan.

    Kaniyamuthan berkata orang ramai tidak sepatutnya terburu-buru membuat kesimpulan bahawa sesuatu kaum atau pelajar dinafikan biasiswa tanpa memahami punca sebenar sesuatu permohonan ditolak.

    “Apa yang saya cuba sampaikan ialah kadang-kadang (permohonan) kita ditolak kerana ada dokumen tertentu yang tertinggal.

    MENARIK:  Bela pekebun durian Raub: PN tuntut DAP keluar k'jaan Pahang

    “Kita terus marah dan mengadu bahawa anak kita, atau kaum kita, dinafikan biasiswa. Pertama sekali, kita perlu mencari sebab penolakan itu,” katanya.

    Tambahnya, anaknya kini telah menerima tawaran mengikuti program matrikulasi dalam jurusan perakaunan selama setahun selain beberapa tawaran pendidikan lain.

    Mengulas lanjut, Gunaraj berkata kerajaan komited memastikan pelajar cemerlang mendapat akses pendidikan sewajarnya melalui pelbagai saluran termasuk matrikulasi, biasiswa dan institusi pengajian tinggi awam.

    Dia turut mengingatkan ibu bapa dan pelajar supaya lebih teliti ketika mengemukakan permohonan selain mendapatkan bantuan daripada pihak sekolah, kaunselor atau agensi berkaitan bagi mengelakkan masalah teknikal.

    “Masyarakat dinasihatkan agar mendapatkan maklumat yang tepat dan menyeluruh sebelum membuat sebarang kesimpulan atau menyebarkan maklumat yang boleh menimbulkan kekeliruan,” katanya.

    Terdahulu, kegagalan Thenmalar mendapat tempat ke program matrikulasi mencetuskan persoalan mengenai pelaksanaan dasar kemasukan yang diumumkan kerajaan sebelum ini.

    Adun Kota Kemuning, Preakas Sampunathan dilaporkan berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini memberi jaminan pelajar yang memperoleh keputusan 10A dan ke atas akan ditawarkan tempat ke program matrikulasi.

    Menurutnya, keadaan tersebut boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ibu bapa dan pelajar mengenai sistem saringan yang digunakan kementerian.

    “Kalau pelajar 11A pun tidak terpilih ke matrikulasi, sudah tentu ramai akan tertanya-tanya di mana silapnya.

    “Kerajaan sebelum ini sudah umum secara jelas mengenai jaminan kepada pelajar cemerlang, jadi kementerian perlu beri penjelasan supaya perkara ini tidak terus menimbulkan persoalan,” katanya melalui kenyataan hari ini.

    Preakas turut menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyemak semula kes berkenaan dan memastikan tiada pelajar tercicir akibat kelemahan sistem atau masalah teknikal dalam proses permohonan.

    Menurutnya, isu sedemikian boleh menjejaskan semangat pelajar yang telah berusaha keras memperoleh keputusan cemerlang selain menimbulkan rasa kecewa terhadap sistem pendidikan negara.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah