Aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye menegaskan bahawa Rukun Negara perlu terus dihayati dan diamalkan sebagai asas penting dalam pembinaan sebuah negara bangsa yang bersatu padu, aman dan harmoni, khususnya dalam dunia yang semakin mencabar.
Beliau berkata lima prinsip Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan, membawa nilai penting yang menjadi tunjang kepada kestabilan dan keharmonian negara.
“Prinsip-prinsip ini amat relevan dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lee berkata sejak diperkenalkan pada tahun 1970 selepas peristiwa hitam 13 Mei 1969, Rukun Negara bukan sekadar menjadi lafaz ikrar yang dibaca dalam majlis rasmi atau dihafal oleh pelajar di sekolah semata-mata, tetapi merupakan falsafah nasional yang perlu difahami, dihayati dan diamalkan dalam kehidupan seharian.
Beliau berkata penghayatan terhadap Rukun Negara mampu melahirkan masyarakat yang mempunyai nilai moral, disiplin, integriti dan semangat cintakan negara selain memupuk budaya hormat-menghormati serta toleransi antara rakyat pelbagai kaum dan agama serta menolak budaya kebencian, fitnah, ekstremisme dan perpecahan yang boleh menggugat perpaduan negara.
“Dalam dunia hari ini yang semakin mencabar dengan pengaruh media sosial, penyebaran berita palsu serta ucapan berbaur perkauman dan keagamaan yang boleh menggugat perpaduan negara, penghayatan terhadap Rukun Negara perlu diperkasakan semula,” katanya.
Lee berkata semua pihak termasuk keluarga, sekolah, institusi pengajian tinggi, media, pertubuhan masyarakat dan pemimpin negara perlu memainkan perananan bagi memastikan prinsip-prinsip Rukun Negara terus difahami dan diamalkan oleh rakyat.
Beliau berkata generasi muda juga harus dididik supaya memahami bahawa perpaduan, hormat-menghormati dan tanggungjawab sebagai rakyat merupakan asas kepada kemajuan dan kestabilan negara.
“Justeru, usaha memperkukuh penghayatan Rukun Negara perlu dilakukan secara berterusan melalui pendidikan, kempen kesedaran dan program kemasyarakatan yang lebih berkesan. Rukun Negara mesti dijadikan budaya hidup dan kompas moral dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara,” katanya.
Lee berkata sekiranya setiap rakyat benar-benar memahami, menghayati dan mengamalkan prinsip-prinsip Rukun Negara, Malaysia akan terus kekal sebagai sebuah negara yang aman, stabil, progresif dan bersatu padu.





