Bekas ahli majlis kerja tertinggi (MKT) Umno, Isham Jalil menjelaskan dia bersetuju membuat representasi permohonan maaf kepada badan kehakiman selepas menerima cadangan daripada Peguam Negara (AG).
Katanya, representasi permohonan maaf itu dicadangkan oleh AG kepada peguamnya beberapa minggu lalu yang mungkin tidak mahu memanjangkan kes tersebut di mahkamah terbuka.
Isham berkata, walaupun dia “ada duit” tetapi bukan seorang "billionaire", dia mengambil jalan tengah dan menerima cadangan AG.
"Representasi tersebut dibuat setelah ia dicadangkan oleh pihak AG kepada peguam saya beberapa minggu lalu. Mungkin pihak AG tidak mahu memanjangkan kes ini di mahkamah terbuka.
"Oleh itu saya bersetuju dengan cadangan mereka sebabnya kerana kos guaman agak tinggi dan saya bukanlah seorang yang kaya raya atau billionaire.
"Saya ada duit tetapi bukanlah seperti ahli politik kaya raya yang lain. Sepanjang saya berkhidmat di jawatan tertinggi kerajaan saya tidak pernah makan rasuah dan tidak pernah sakau duit haram. Siapa yang pernah kerja dengan saya tahu perkara ini.
"Saya juga ingin tumpukan perhatian kepada satu lagi kes mahkamah iaitu berkenaan Farhash Salvador dan pembelian saham Heitech Padu.
"Yang ini adalah kes yang lebih besar dan penting untuk saya lawan dan beri perhatian dan mendapat sokongan AG dan badan kehakiman. Tidak bijak dan tidak masuk akal jika saya mengharap sokongan dan budi bicara kehakiman dalam satu kes tetapi melawan mereka dalam satu kes yang lain," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu hari ini, Malaysiakini melaporkan Isham telah menghantar surat representasi kepada AG dan bersedia membuat tawaran untuk memohon maaf tanpa syarat bagi menyelesaikan prosiding penghinaan pendakwaan terhadapnya.
Peguam bekas ketua penerangan Umno dari firma guaman Tetuan Jamie Wong mengeluarkan representasi bertarikh 25 Mac kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
Semasa pengurusan kes prosiding komital pagi ini, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa pihak pendakwaan menerima surat permohonan representasi itu lewat bulan lepas.
Dia berkata Isham, melalui representasi itu, menawarkan permohonan maaf secara terbuka bagi menyelesaikan perkara penghinaan yang dikaitkan dengan kes jenayah 1MDB dan SRC International membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak
AG pada 28 Disember lalu memfailkan permohonan komital (menghina mahkamah) secara ex-parte (sebelah pihak), dan turut memohon supaya mahkamah memenjara atau mengenakan hukuman denda terhadap Isham atau nama sebenarnya, Hizatul Isham Abdul Jalil.
Sementara itu, Isham berkata dalam perjuangan tidak semua perkara dia boleh menang dan akan jatuh banyak kali sebelum berjaya.
"Saya faham saya tidak boleh menang dalam semua perkara, dan dalam perjuangan kita akan kalah dan jatuh banyak kali sebelum kita berjaya.
"Ini adalah asam garam kehidupan dalam perjuangan saya sebagai seorang rakyat dan ahli politik," katanya lagi.





