Iran akan menutup sepenuhnya ruang udara Tehran pada Isnin sebagai sebahagian daripada pengurusan pengebumian bekas Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei yang terkorban, lapor Anadolu Ajansi memetik agensi berita Isna.
Penerbangan di seluruh negara diteruskan tanpa sekatan pada Ahad, namun ruang udara Tehran akan ditutup sepenuhnya pada Isnin ketika perarakan utama pengebumian berlangsung.
Mengikut jadual yang diumumkan Pertubuhan Penerbangan Awam, penerbangan biasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Mehrabad dan Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini di Tehran akan digantung pada Isnin ketika upacara awam berlangsung di ibu negara.
Pada Selasa, Lapangan Terbang Mehrabad akan menyambung semula operasi biasa, manakala Lapangan Terbang Imam Khomeini kekal ditutup.

Pihak berkuasa berkata pada 9 Julai, ruang udara di bandar Mashhad di timur laut Iran serta operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Shahid Hasheminejad juga akan digantung sepenuhnya ketika upacara pengebumian terakhir berlangsung.
Penerbangan di seluruh negara akan diteruskan tanpa sekatan pada 7 hingga 8 Julai, kecuali di Mashhad pada hari terakhir upacara berkenaan.
Khamenei terkorban dalam serangan bersama Amerika Syarikat (AS)-Israel ke atas Iran pada 28 Februari, yang mencetuskan peranang selama beberapa minggu dan meningkatkan ketegangan di seluruh rantau itu.
Upacara pengebumian secara rasmi bermula Jumaat, dengan pemimpin asing dan delegasi rasmi dari luar negara memberikan penghormatan kepada bekas Pemimpin Agung Iran itu.
Menurut jadual rasmi, majlis penghormatan terakhir oleh orang ramai akan diikuti dengan perarakan pengebumian utama di Tehran pada Isnin.

Upacara pengebumian itu kemudian akan diteruskan di Qom pada 7 Julai.
Pada 8 Julai, beberapa upacara dijadualkan berlangsung di Iraq, termasuk di Baghdad, Najaf dan Karbala, apabila jenazah akan disambut oleh tokoh agama dan pemimpin politik sebelum dibawa ke makam utama Syiah.
Upacara terakhir iaitu pengebumian dijadualkan berlangsung pada 9 Julai di Makam Imam Ali Reza di bandar Mashhad, timur laut Iran, yang merupakan antara lokasi paling suci bagi penganut Syiah.





