Wanita yang didakwa melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah ketika sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri tahun lepas, dikenakan denda RM500 selepas mengaku bersalah atas perbuatan tersebut di Mahkamah Majistret di Ipoh hari ini.
Nurhaswani Afni Mohamad Zorki, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norizan Ridzuan yang kemudiannya menetapkan sebulan penjara sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, ibu tunggal kepada lima anak itu didakwa melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di hadapan bangunan Dewan Bandaran Ipoh, Jalan Panglima Bukit Gantang dalam daerah Kinta, kira-kira 8.20 pagi pada 31 Ogos 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda hingga RM1,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nasrul Hadi Abdul Ghani yang memohon hukuman setimpal selepas mengambil kira faktor kepentingan awam serta keseriusan kesalahan, memandangkan perbuatan tertuduh dilakukan terhadap Sultan Perak ketika sambutan Hari Kebangsaan.
Dia juga berpendapat hukuman itu wajar menjadi pengajaran kepada tertuduh dan peringatan kepada orang awam agar tidak melakukan kesalahan yang sama.
Sementara itu, peguam yang mewakili tertuduh secara probono Naran Singh memohon rayuan hukuman minimum dengan mengambil kira tertuduh merupakan pesalah kali pertama, mengaku salah di peringkat awal, menghidap skizofrenia serta ditahan selama 55 hari melibatkan tempoh reman, siasatan, tahanan dan pemerhatian di hospital.
Pada 8 Okt lepas, mahkamah itu menolak pengakuan bersalah Nurhaswani Afni selepas dimaklumkan pihak pendakwaan bahawa laporan daripada Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Ulu Kinta di Ipoh menyatakan tertuduh menghidap skizofrenia dan tidak waras semasa kejadian.
Pada 8 Sept lepas, dia dihadapkan ke mahkamah sama, bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana tertuduh diperintahkan menjalani pemeriksaan serta pemantauan di Hospital Bahagia selama sebulan mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.
Mengikut fakta kes wanita itu didakwa menaiki Pentas Diraja ketika sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak sebelum meluru ke arah Sultan Nazrin Shah ketika lagu Negeri Perak dimainkan.
Walaupun cuba dihalang oleh pegawai protokol, tertuduh berjaya menarik baginda hingga hampir terjatuh sebelum ditahan anggota keselamatan.
Hasil siasatan mendapati tertuduh menggunakan kekerasan jenayah terhadap Sultan Perak dan dipercayai sengaja berpakaian serba hitam menyerupai pengawal keselamatan bagi memasuki kawasan Pentas Diraja.
Tertuduh kemudian dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta dan disahkan menghidap skizofrenia, namun laporan psikiatri mendapati dia layak dibicarakan serta berupaya memberikan pengakuan.





