Dua gol daripada Jude Bellingham memberikan kekalahan yang jarang berlaku buat Mexico di Estadio Azteca apabila England yang beraksi dengan 10 pemain menang 3-2 dalam perlawanan klasik Piala Dunia yang mendebarkan untuk mara ke suku akhir.
Harry Kane turut menjaringkan gol melalui sepakan penalti ketika pasukan Three Lions itu mengatasi kad merah Jarell Quansah. Mexico sebagai tuan rumah mempunyai kelebihan berbanding pemain England yang terpaksa bertarung di ltitud tinggi dan sokongan padu penyokong tuan rumah untuk mengekalkan pemburuan kejuaraan kejohanan utama pertama mereka dalam tempoh 60 tahun.

AFP melaporkan England bergantung kepada Bellingham dan Kane sepanjang kejohanan ini dan gandingan tersebut membawa mereka ke perlawanan kelompok lapan terakhir menentang Norway yang diterajui Erling Haaland.
Bellingham menjaringkan dua gol dalam tempoh 98 saat pada separuh masa pertama untuk menyaksikan Mexico mengalami kekalahan ketiga sahaja daripada 90 perlawanan di Azteca.
Julaian Quinones dan Raul Jimenez mengurangkan defisit gol Mexico namun mereka gagal untuk slot ke suku akhir.
Kemenangan ini juga membantu memadamkan sebahagian memori ngeri England di Azteca pada peringkat suku akhir Piala Dunia 1986 apabila Diego Maradona menjaringkan dua gol untuk Argentina, termasuk gol "Hand of God" yang terkenal.
Perlawanan ditangguhkan selama sejam selepas ribut petir dan hujan lebat melanda ibu negara Mexico selama beberapa jam sebelum waktu sepak mula yang dijadualkan pada jam 6.00 petang (0000 GMT).
Walaupun dalam keadaan basah lencun, lebih 80,000 penyokong membanjiri stadium untuk mencetuskan suasana yang sangat bising.
Jurulatih England, Thomas Tuchel berwaspada dengan permulaan rancak daripada Mexico ketika pasukannya menyesuaikan diri dengan altitud 2,240 meter (7,350 kaki) di atas paras laut.
Mexico bermula garang apabila mereka memenangi perlawanan kalah mati Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 40 tahun menentang Ecuador 2-0 pada Selasa.
Kali ini England berjaya menyekat pasukan bimbingan Javier Aguirre itu, namun memerlukan tindakan penting daripada Jordan Pickford untuk menghalang Jimenez membuka tirai jaringan melalui tandukan terbang yang menuju ke penjuru bawah gol.

Tuchel melakukan tiga pertukaran daripada pasukan yang memerlukan persembahan wira daripada Kane untuk mengelakkan tersingkir awal yang memalukan kepada DR Congo.
Quansah terpaksa mengisi posisi pertahanan kanan memandangkan Reece James tidak cukup cergas untuk bermula buat perlawanan ketiga berturut-turut, mendedahkan Tuchel kepada kritikan atas keputusannya tidak memilih lebih banyak pemain pertahanan tulen di posisi tersebut.
Anthony Gordon dan Bukayo Saka turut bermula di posisi sayap dan kedua-duanya memberikan sumbangan penting.
Hantaran lintang Saka menemui Bellingham yang menanduk masuk gol pertama yang dilepaskan oleh Mexico dalam lima perlawanan Piala Dunia.
Pasukan tuan rumah gagal bertenang apabila dalam tempoh dua minit, pemain tengah Real Madrid itu menggandakan pendahuluan England.
Hantaran lintang Kane tepat menemui Bellingham untuk merembat masuk gol keempatnya dalam kejohanan ini.
Namun, kelebihan yang sepatutnya selesa itu hampir dipadamkan sebelum separuh masa pertama tamat.
Julaian Quinones meledak gol keempatnya dalam kejohanan ini untuk mencetuskan kebangkitan Mexico selepas England gagal mengeluarkan bola daripada sepakan percuma.

Jimenez melakukan rembatan tersasar dan menyaksikan satu lagi tandukan diselamatkan oleh Pickford sebelum Bellingham melakukan hadangan saat akhir untuk menghalang Cesar Montes daripada menjaringkan gol penyamaan mutlak.
Nico O'Reilly hampir mengembalikan kelebihan dua gol England apabila rembatannya yang terbias terkena tiang gol.
Quansah dilayangkan kad merah terus pada minit ke-54 selepas semakan VAR berikutan kekasaran terhadap Jesus Gallardo.
Bagaimanapun, hanya enam minit kemudian, pasukan dengan 10 pemain itu menambah pendahuluan apabila Gordon dijatuhkan oleh penjaga gol Mexico, Raul Rangel, dan Kane menyempurnakan sepakan penalti dengan tenang.
Gol keenam kapten England itu dalam kejohanan ini meletakkannya hanya satu gol di belakang Haaland, Lionel Messi dan Kylian Mbappe dalam perebutan Kasut Emas.
Perlawanan kembali berubah rentak apabila kali ini Kane dihukum kerana melakukan kekasaran di dalam kotak penaltinya sendiri dan Jimenez menyempurnakan sepakan penalti untuk menetapkan baki 20 minit terakhir yang mendebarkan.
Bagaimanapun, England bertahan kental, mengekang asakan bertubi-tubi dalam tempoh 11 minit masa tambahan untuk mara ke suku akhir Piala Dunia buat kali ketiga berturut-turut.





