Perwakilan DAP hari ini perlu mengambil kira matlamat parti yang jauh lebih besar daripada sekadar memegang jawatan dalam kerajaan dalam membuat keputusan sama ada kekal dalam pentadbiran Madani atau tidak, kata Setiausaha Agungnya Anthony Loke.
Berucap pada Kongres Tahunan DAP hari ini, Loke menegaskan walaupun keputusan yang perlu dibuat perwakilan itu “sukar” namun anggota parti perlu terus berpegang teguh pada ideal perjuangan yang menjadi asas penubuhannya.
“Matlamat kita bukan sekadar duduk dalam kerajaan sebagai menteri, timbalan menteri atau memegang jawatan-jawatan penting yang lain.
“Yang lebih penting ialah perjuangan kita dan perananan kita dalam membantu menyumbang ke arah pembinaan sebuah negara yang lebih baik,” kata Loke, yang juga menteri pengangkutan.

Dalam ucapannya sebelum membentangkan usul yang dinanti-nantikan berhubung keputusan itu, Loke tidak membuat sebarang rayuan khusus supaya perwakilan mengundi agar DAP terus kekal dalam kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, dia menyebut sebagai sebuah parti dalam kerajaan gabungan, terdapat “kekangan dan kelemahan” yang terpaksa ditanggung DAP.
Jelas Loke, kesan daripada perkara itu menyumbang kepada “kritikan” malah “undi protes” terhadap parti berkenaan dalam beberapa pilihan raya negeri baru-baru ini.
Usul yang meminta persidangan membuat ketetapan sama ada DAP patut kekal dalam kerajaan persekutuan sehingga tamat penggal Parlimen semasa itu disokong oleh Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming sebelum persidangan membuka ruang untuk perbahasan.






