Setiausaha PN Selangor Dr Afif Bahardin menjelaskan ibu pejabat PN bukan ditutup operasinya, sebaliknya akan berpindah ke premis baru.
Afif berkata, ini kerana kontrak penyewaan pejabat di Solaris Dutamas di Kuala Lumpur - iaitu premis ibu pejabat gabungan itu sebelum ini - telah tamat.
"Tak tutup, tapi kontrak (sewa) telah tamat. Kita sedang mengenal pasti lokasi baru untuk dijadikan ibu pejabat.
"Kita masih beroperasi, mesyuarat pun masih berlangsung, tiada isu penutupan.
"Apa yang diberitahu sumber berkenaan kepada Malaysiakini tidak betul, tipu," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu, sumber dalaman PN turut mendakwa kakitangan pejabat terbabit juga diberhentikan, dengan tunggakan gaji untuk hampir dua bulan.
Terdahulu, Timbalan Pengerusi PN Hamzah Zainudin berkata dia “tidak pasti” mengenai penutupan pejabat tersebut kerana bukan lagi menyandang tugas sebagai setiausaha agung, yang kini dipegang Azmin Ali.
"Saya sendiri tidak pasti sebab bukan lagi setiausaha agung.
“Ketika saya pegang jawatan SU (setiausaha agung) dahulu, hal berkaitan pejabat adalah sebahagian daripada urusan pengurusan dan pentadbiran harian parti.
"Kita tunggu penjelasan rasmi daripada Setiausaha Agung (PN). Mungkin mereka sedang mencari tempat baru atau mungkin sudah menjumpainya," katanya seperti dipetik Berita Harian.





