Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata ada perkara yang boleh "diperbaiki" mengenai cara polis mengendalikan kumpulan yang berarak ke parlimen semalam bagi menuntut keadilan terhadap kematian Teoh Beng Hock.
"Saya tidak mengenali mendiang tapi isu itu dekat dengan hati saya dari awal lagi, dari tahun 2009 lagi," katanya kepada pemberita pada satu majlis di Putrajaya hari ini.
"Saya percaya ada beberapa perkara yang kita boleh tambah baik dan saya harap perkara ini boleh diberikan perhatian oleh pihak yang berwajib," katanya.
Fahmi mengulas sekatan polis terhadap perarakan Persatuan Kemajuan Demokrasi Teoh Beng Hock (TBH-Ada) di hadapan pintu parlimen semalam.

Sekitar jam 10 pagi, penguatkuasa undang-undang membentuk rantaian manusia kira-kira 100 meter dari pintu pagar parlimen untuk menghentikan perarakan yang diketuai kakak Beng Hock, Lee Lan.
Ketegangan tercetus apabila penunjuk perasaan berkeras untuk menyampaikan memorandum mereka terus ke arlimen.
Selepas tempoh rundingan, kira-kira jam 11:20 pagi, pejabat speaker menghantar pegawai khas Abdul Hadi Khalid untuk menerima dokumen itu.
Menjawab tuntutan kumpulan membela mendiang Teoh itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata dia akan menyemak kandungan memorandum itu dan bertemu kumpulan itu tidak lama lagi.

"Saya ambil maklum insiden yang berlaku di luar parlimen hari ini melibatkan keluarga mendiang Teoh Beng Hock.
"Saya beri jaminan akan berjumpa mereka dalam masa terdekat dan meneliti memorandum tuntutan," menurut perdana menteri di platform X.
Awal hari ini, Pemuda PKR melahirkan kebimbangannya terhadap reaksi pihak berkuasa terhadap perhimpunan aman untuk menyerahkan memorandum berkaitan kematian mendiang Beng Hock.
Menyifatkan reaksi itu sebagai “membimbangkan”, Pengarah Komunikasi Pemuda PKR Haziq Azfar Ishak berkata pihak berkuasa perlu berbudi bahasa dan empati dalam isu ini.
Teoh meninggal dunia semasa dalam tahanan SPRM pada 16 Julai 2009.
Mendiang yang juga pembantu kepada Adun Seri Kembangan ketika itu, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di koridor perkhidmatan tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam selepas disoal siasat semalaman di tingkat 14 ibu pejabat SPRM Selangor ketika itu.





