Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menyatakan kebimbangan mendalam terhadap platform media sosial atas kegagalan melindungi kanak-kanak di bawah umur 13 tahun dengan secukupnya daripada mendaftar di laman web mereka.
Walaupun platform media sosial menetapkan umur minimum pada garis panduan, Fahmi menegaskan pengguna bawah umur masih dapat mendaftar dengan mudah.
"Isunya sekarang platform platform media sosial ini hanya meletakkan ia (syarat umur) sebagai garis panduan. Mungkin ada beberapa perkara yang kita akan tegaskan kepada mereka bagaimana untuk mengelak kanak-kanak daripada mendaftar akaun media sosial.
"Sebab kita tahu kadang-kadang mungkin kanak-kanak akan menggunakan pelbagai cara untuk memiliki akaun media sosial, sama ada mereka meminta kawan mereka yang lebih tua untuk membuka akaun dan macam-macam cara yang lain
"Yang saya tegaskan waktu ini platform-platform media sosial kelihatan tidak terlalu serius untuk menghalang kanak kanak bawah 13 tahun dari membuka, memiliki, dan menggunakan akaun akaun media sosial," katanya selepas melepaskan peserta Kembara Merdeka 2024 di Kuala Lumpur hari ini.
Menerusi pelesenan platform media sosial, Fahmi berharap dapat melaksanakan langkah lebih tegas bagi menghalang kanak-kanak daripada mengakses platform media sosial dan mengekang aktiviti pemangsa dalam talian.
"Kita mahu menghentikan pedofil yang menggunakan akaun palsu untuk mengeksploitasi kanak-kanak," katanya.
Awal bulan ini, Fahmi berkata platform media sosial yang gagal mendapat lesen pada 1 Jan tahun depan boleh dihukum denda dan/atau penjara jika terus beroperasi di Malaysia.
Dia menjawab sama ada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM) mempunyai peruntukan yang membolehkan kerajaan menutup platform tidak berlesen.





