Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan rayuan kerajaan persekutuan untuk mengetepikan perintah supaya ia memindah milik tanah seluas 263.272 ekar (106.542 hektar) di Mukim Batu Kuala Lumpur, yang dikenali sebagai ‘Duta Enclave’ kepada Semantan Estate Sdn Bhd (SESB).
Namun, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Lee Swee Seng yang bersidang bersama Azimah Omar dan Wan Ahmad Farid Wan Salleh memutuskan bahawa SESB layak mendapat ganti rugi bagi tanah yang telah diceroboh.
Bayaran pampasan itu adalah seperti yang dinilai oleh Mahkamah Tinggi berdasarkan kadar pasaran 1956 dengan faedah tahunan 6 peratus sehingga pembayaran selesai.
Pada 8 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan saman pemula SESB supaya tanah berkenaan dipindah milik kepada syarikat berkenaan mengikut Seksyen 417 Kanun Tanah Negara 1965.
Tanah yang terletak di lokasi utama Jalan Duta itu menempatkan antaranya Kompleks Lembaga Hasil Dalam Negeri, beberapa bangunan kerajaan, Stadium Hoki Nasional, Institut Kefahaman Islam Malaysia dan Masjid Wilayah Persekutuan.
[Berita penuh menyusul]





