28.5 C
Kuala Lumpur
Tuesday, June 16, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ‘Islam boleh disebar di M’sia tanpa halangan’ – Ulama Umno bidas senator DAP

    Shopee Sale

    Timbalan Pengerusi Majlis Ulama Umno, Mohd Khairuddin Aman Razali membidas senator DAP, RA Lingeshwaran yang hari ini menggesa siasatan dijalankan terhadap Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi).

    Ini selepas Lingeshwaran menuntut siasatan berhubung poster tular di media sosial yang menyenaraikan beberapa manfaat untuk mahasiswa Upsi yang merupakan saudara baru Islam, termasuk mendapat yuran pengajian percuma.

    Menurut Khairuddin, Lingeshwaran sepatutnya sedar bahawa Malaysia merupakan sebuah negara Islam.

    "Pemimpin DAP bukan Islam ini sedar ke tak sedar diri ni. Kamu rakyat Malaysia, sebuah negara Islam. Islam boleh disebar dan dikembangkan di mana-mana dalam negara ini menurut perlembagaan termasuk di Pusat Pengajian Tinggi seperti UPSI," katanya dalam kenyataan.

    Terdahulu, Lingeshwaran menggesa siasatan dijalankan meskipun mengambil maklum penjelasan telah dibuat oleh institusi pendidikan.

    Poster yang memaparkan logo Upsi, pusat Islam universiti, jabatan hal ehwal pelajar dan alumni, serta lambang Malaysia Madani itu menyebut bahawa mahasiswa yang memeluk Islam boleh mendapat yuran pengajian percuma.

    Ia juga mendakwa mahasiswa mualaf akan ditawarkan bantuan kewangan dan boleh menyertai sesi perkongsian pengalaman bersama mualaf lain.

    MENARIK:  Gugur senator Zafrul? Umno tak boleh pakai akta antilompat

    Selain itu poster itu turut mempromosikan kelas bimbingan yang dibuka kepada mahasiswa bukan Islam yang berminat untuk mempelajari tentang Islam.

    Dalam satu notis semalam, bahagian komunikasi korporat Upsi berkata poster itu tidak pernah dikemukakan untuk semakan atau kelulusan pihak pengurusan universiti.

    Tambahnya, poster itu diedarkan di luar saluran rasmi dan tindakan susulan sedang diambil bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

    Bagaimanapun, Lingeshwaran berkata dalam satu kenyataan hari ini, penafian pihak universiti sahaja tidak mencukupi untuk meredakan kebimbangan orang ramai memandangkan bahan itu menyentuh isu sensitif dalam masyarakat majmuk di Malaysia.

    Sementara itu, Khairuddin mengingatkan bahawa di Malaysia, Islam boleh disebarkan kepada penganut agama lain, dan bukan sebaliknya.

    "Agama kamu yang tak boleh disebarkan di kalangan orang Islam hanya boleh diamalkan saja. Jangan menimbulkan kemarahan umat Islam. Kepada pengurusan UPSI, teruskan jangan apologetik terhadap "kemabukan" ini," katanya.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah