Ketua Pembangkang DUN Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub membidas kerajaan negeri kerana didakwa cuba menggambarkan kehadiran ribuan pencari kerja yang beratur panjang pada sesi temu duga terbuka sebagai bukti Melaka menjadi “lubuk rezeki”.
Dia berkata fenomena itu sebaliknya perlu dilihat sebagai petunjuk tekanan ekonomi rakyat, bukannya dijadikan bahan untuk kerajaan berbangga.
“Mungkin selepas ini kerajaan negeri boleh menganggap kesesakan di kaunter bantuan kebajikan sebagai tanda rakyat semakin sejahtera dan barisan panjang di klinik kerajaan sebagai bukti sistem kesihatan berada pada tahap terbaik.
“Begitulah anehnya logik yang cuba dijual kepada rakyat hari ini,” katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Yadzil (gambar atas) yang juga Adun Sungai Udang, rakyat beratur panjang bukan kerana terlalu selesa dengan keadaan ekonomi mereka, sebaliknya demi mencari pekerjaan yang mampu menampung kos sara hidup semakin meningkat.
Dia turut mempersoalkan mengapa ribuan orang sanggup beratur berjam-jam bagi merebut hanya sekitar 300 hingga 500 jawatan yang ditawarkan.
Mohd Yadzil berkata kerajaan negeri tidak wajar menggunakan kadar pengangguran sekitar dua peratus untuk menafikan keresahan rakyat di lapangan.
Katanya, angka statistik itu tidak menjawab isu sebenar seperti pekerjaan di bawah kelayakan, gaji tidak mencukupi, kenaikan kos sara hidup dan rakyat yang terpaksa melakukan lebih daripada satu pekerjaan.
Ekonomi Melaka kukuh
Terdahulu, Exco Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Melaka, Ngwe Hee Sem mengulas mengenai isu tular lebih 1,000 pencari kerja beratur panjang untuk hadir sesi temu duga terbuka di Banda Hilir pada 14 Jun lalu.
"Ini sebenarnya menunjukkan ekonomi Melaka berada dalam keadaan kukuh sehingga menjadi lubuk rezeki dan destinasi pencarian kerja kepada orang ramai termasuk dari luar negeri," katanya seperti dipetik media tempatan.
Menurut Ngwe, kadar pengangguran di Melaka kini sekitar dua peratus, antara yang rendah di negara ini.
Ngwe, yang juga Adun Machap Jaya berkata sesi temu duga terbuka itu diadakan bagi mengisi kira-kira 300 hingga 500 kekosongan membabitkan jawatan operator pengeluaran dan juruteknik sebuah syarikat semikonduktor dan elektronik dari Jerman .
Dia berkata tawaran gaji yang dipercayai bermula sekitar RM3,000 sebulan, selain beberapa manfaat lain, menjadi antara faktor ramai pencari kerja hadir mencuba nasib.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Yadzil turut membangkitkan persoalan berapa ramai anak Melaka terpaksa berhijrah keluar dari negeri itu bagi mencari pekerjaan dengan gaji lebih bermaruah.
“Kerajaan yang matang akan melihat ribuan pencari kerja sebagai satu maklum balas terhadap keadaan pasaran buruh.
“Kerajaan yang terlalu ghairah berpolitik pula akan melihatnya sebagai peluang untuk bermegah,” katanya.
Mohd Yadzil berkata kerajaan negeri juga perlu jujur mengakui tekanan ekonomi masih dirasai, termasuk oleh peniaga kecil dan penjaja yang berdepan kenaikan kos operasi.
Menurutnya keadaan itu terbukti apabila kerajaan negeri sendiri sebelum ini menawarkan pelepasan sewa premis dan diskaun pembaharuan lesen bagi meringankan beban peniaga.
“Jika keadaan ekonomi benar-benar begitu baik seperti yang cuba digambarkan, mengapa bantuan dan insentif sedemikian masih perlu diperkenalkan,” soalnya.
Menurutnya, rakyat Melaka memerlukan pekerjaan berkualiti, gaji setimpal dan dasar ekonomi yang benar-benar meningkatkan kesejahteraan mereka.
“Apa yang rakyat mahu bukan sekadar peluang untuk beratur mencari kerja, tetapi peluang untuk hidup dengan lebih bermaruah dan sejahtera," katanya lagi.





