33.9 C
Kuala Lumpur
Monday, June 8, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    'Dangkal' jika panggilan telefon Trump – Anwar jadi keutamaan: Nazri

    Shopee Sale

    Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat yang akan tamat perkhidmatannya, Nazri Aziz, menyangkal kritikan yang dilontarkan kepadanya pada hari-hari terakhirnya menyandang jawatan itu.

    Nazri menjawab isu dibangkitkan bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming, yang mendakwa dia gagal mengatur panggilan telefon antara presiden Amerika, Donald Trump dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

    "Saya telah menjawab apa yang dibangkitkan oleh bekas Ahli Parlimen (Ong) dan saya tidak akan mengulanginya.

    "Saya hanya ingin menyatakan bahawa adalah terlalu dangkal untuk anggap mengatur panggilan telefon antara Anwar dan Trump sebagai satu keutamaan.

    "Sepatutnya, apa yang perlu diutamakan ialah nilai pelaburan syarikat-syarikat AS ke Malaysia. Tetapi mungkin, bagi seseorang yang ‘bijak’ seperti Ong, perkara ini tidak penting," kata bekas Ahli Parlimen Padang Rengas itu.

    Pada 21 Januari lalu, isteri Nazri, Haflin Saiful, berkongsi gambar mereka meraikan kemenangan Trump sambil Nazri dilihat memegang sepanduk dengan slogan "Make America Great Again".

    Semalam, Nazri mengesahkan kontrak dua tahunnya sebagai duta yang dilantik secara politik telah berakhir dan akan pulang ke tanah air pada 14 Februari.

    Namun, Nazri menafikan dia "dipanggil balik" sebelum tempoh perkhidmatannya berakhir.

    Sepanjang berada di Washington, Nazri menyebut dua kejayaan utama yang dicapainya - penyerahan dua rakyat Malaysia yang ditahan di Guantanamo Bay serta peningkatan ranking Malaysia dalam indeks tahunan pemerdagangan manusia AS.

    Mengulas lanjut, Nazri berkata Ong sepatutnya faham bahawa pasukan Trump tidak mungkin akan memudahkan panggilan telefon dengan Anwar, memandangkan pendirian tegas perdana menteri dan Malaysia mengenai isu Palestin.

    MENARIK:  Cuaca panas: PDPR tak jejas pembelajaran - Wong

    "Ong juga harus faham, jika kita terlalu beria-ia mahu Anwar bercakap dengan Trump melalui telefon, apakah gunanya kenyataan tegas kita mengenai isu Palestin?

    "Atau bagi Ong, isu Palestin tidak penting, dan yang lebih penting adalah bercakap dengan Trump? Sepatutnya kita tidak berkompromi dan mempertahankan pendirian kita," kata bekas ahli parlimen Padang Rengas itu.

    Nazri turut mendedahkan bahawa dia dipanggil oleh Jabatan Negara AS sebanyak lima kali susulan kenyataan Anwar sebelum ini mengenai Gaza, termasuk mempertahankan Hamas dan bertemu pemimpinnya Allahyarham Ismail Haniyeh di Qatar; serta mempertahankan hak Iran untuk bertindak balas selepas serangan Israel terhadap konsulatnya di Syria.

    Ong, dalam kritikan terhadap Nazri, membuat spekulasi mengenai calon yang akan menggantikan Nazri, termasuk anak perempuan Anwar, Nurul Izzah, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan, Tengku Zafrul Aziz, serta bekas Ahli Parlimen PKR, Yusmadi Yussof.

    Bagaimanapun, Nazri mendakwa Ong, yang juga bekas timbalan menteri, sedang melobi untuk dilantik sebagai duta Malaysia ke AS yang baru.

    "Tidak perlu bermain politik. Katakan sahaja bahawa kamu mahu jawatan itu. Itu lebih mudah daripada sibuk mencari kesilapan dan kelemahan saya.

    "Selama dua tahun sebagai duta, saya akui bahawa saya bukan yang terbaik dan sudah tentu saya mempunyai banyak kelemahan.

    "Tetapi sebelum saya dilantik ke jawatan ini, saya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan untuk menyenaraikan kelemahan duta-duta sebelum saya," tegasnya.

    Nazri juga menegaskan dia tidak pernah melobi untuk jawatan tersebut, sebaliknya telah dicadangkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Ismail Sabri Yaakob.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah