Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer menyifatkan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mengalami 'insomnia terpilih' apabila mendakwa DAP memainkan propaganda Islamofobia dan menuduh ahli-ahli parti itu “pendatang yang dibawa masuk penjajah”.
Dia mempersoalkan sekiranya DAP menyebarkan “Islamofobia”, mengapa PAS menjalinkan kerjasama politik dengan parti itu suatu ketika dahulu.
"Adakah beliau masih ingat pernah berkempen untuk Ram Karpal dalam Pilihan Raya Kecil Bukit Gelugor pada tahun 2014 dan meminta pengundi memberikan sokongan kepada Ram Karpal sebagai menghargai dedikasi serta jasa mendiang Karpal sebagai seorang wakil rakyat?
"Hadi Awang menghidap "insomnia terpilih". Mengapa baru sekarang hendak menyalahkan PH kerana kononnya menyebarkan propaganda Islamofobia? Mengapa beliau seolah-olah lupa perkara ini ketika PAS masih berada dalam Pakatan Rakyat?
"Siapakah yang meminta para pengundi dalam Pilihan Raya Kecil Teluk Intan mengundi calon DAP, Dyana Sofea?"soalnya dalam kenyataan.
Rayer turut mempersoalkan mengapa PAS kini hendak memutuskan hubungan dengan Bersatu sekiranya benar PH menyebarkan propaganda Islamofobia.
"Akhir sekali, mengapa PAS pernah memutuskan hubungan dengan Umno sebelum ini tetapi kini membentuk pakatan pilihan raya dengannya?
"Tidak syak lagi, Hadi Awang menghidap "insomnia terpilih". Hakikatnya, PAS dan khususnya Hadi Awanglah yang selama ini sering menggambarkan DAP sebagai ancaman kepada Islam, bukannya sebaliknya," katanya.

Terdahulu, Abdul Hadi mendakwa PH memainkan propaganda Islamofobia, antaranya dengan menggunakan istilah “gelombang hijau” bagi merujuk kemaraan politik mereka.
DAP, salah satu parti gabungan PH, mendapat kritikan paling keras apabila penyokongnya digelar sebagai “pendatang yang diimport masuk oleh penjajah”.
“Islamofobia ialah suatu sangkaan buruk terhadap Islam dan penganutnya.
“Sekiranya ajaran Islam difahami secara akademik yang bermoral, dengan akal yang sihat serta bebas daripada penyakit fanatik, di samping memahami naratif masyarakat majmuk Malaysia yang didominasi oleh Melayu Islam sebagai penduduk asal di rantau Nusantara, bukannya pendatang yang diimport masuk oleh penjajah, yang sebahagian besarnya menjadi penumpang bahtera DAP yang mempunyai destinasinya sendiri, serta turut ditumpang oleh segelintir orang Melayu-Islam yang berperibadi seperti kacang lupakan kulit, maka tanggapan Islamofobia tersebut tidak akan timbul.”
Abdul Hadi juga mendakwa terdapat pihak dalam kalangan DAP yang berniat jahat dengan berkata Melayu juga pendatang di Malaysia.
“Maka, daripada bumi manakah asal Melayu ini? Semua bangsa lain ada negeri asal masing-masing.
“Mereka tidak menyedari bahawa rumpun penduduk Nusantara di Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu telah mempengaruhi penggunaan nama Melayu sebagai jenama bagi penganut Islam, sehingga perkataan Melayu menjadi seerti dengan perkataan Islam.
“Justeru, semua yang masuk Islam dikatakan masuk Melayu, manakala orang Melayu yang murtad dianggap bukan lagi Melayu,” katanya.
Dia tidak memberikan contoh khusus ketika mengaitkan DAP dengan Islamofobia.
Ini bukan pertama kali PAS mengaitkan dakwaan Islamofobia dengan musuh politiknya.
PAS sebelum ini telah banyak berdepan dakwaan menggunakan isu kaum, agama dan istana (3R) dalam politik.
Abdul Hadi sendiri tiga tahun lalu disiasat polis berhubung kenyataannya didakwa menyentuh isu 3R.
Dia disiasat susulan kenyataan mendakwa DAP mahu mengekalkan pengertian Islam dalam perlembagaan berdasarkan tafsiran penjajah yang menjunjung liberalisme dan kebebasan diamalkan negara Barat.
Abdul Hadi dua bulan lalu berkata tidak wujud istilah 3R dalam kerangka politik Islam.





