Ahli Parlimen PAS direkodkan sebagai wakil rakyat paling ramai menyokong gesaan penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) berhubung dakwaan kewujudan mafia korporat melibatkan pelbagai individu termasuk bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki.
Selepas dua minggu Sekretariat #RCINow menghantar memorandum ke parlimen, setakat ini seramai 34 ahli parlimen dari pelbagai parti menyokong gesaan tersebut.
Daripada jumlah itu seramai sembilan Ahli Parlimen PAS menyatakan sokongan menjadikan parti itu paling ramai setakat ini, diikuti PRK seramai lapan orang, DAP (tujuh), Bersatu (empat), Amanah (dua) dan masing-masing seorang Wawasan, Umno, Star dan Upko.
Pengerusi Bersih Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata sekretariat terbabit memberikan masa selama 14 hari lagi – bermula hari ini sehingga 30 Julai – untuk ahli parlimen yang lain menyatakan pendirian mereka.
“Pihak Sekretariat RCINow bercadang untuk menerbitkan senarai penuh nama semua ahli parlimen dan pendirian mereka pada 3 Ogos.
“Kami juga mengalu-alukan rakyat untuk menghantar templat dokumen menyokong penubuhan RCI mafia korporat kepada ahli parlimen masing-masing,” katanya pada sidang media di Petaling Jaya, hari ini.
Pada 30 Jun lalu sekumpulan aktivis berarak ke parlimen di ibu kota bagi menyerahkan memorandum menggesa kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat dakwaan mafia korporat melibatkan SPRM.

Usaha itu digerakkan Sekretariat #RCINOW, yang dahulunya dikenali sebagai sekretariat #TangkapAzamBaki.
Sebelum ini, beberapa pemimpin DAP, termasuk pengerusinya Gobind Singh Deo, menggesa supaya RCI ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan ‘mafia korporat’, tuduhan yang dinafikan keras oleh SPRM dan disifatkan cuba menjejaskan kredibiliti mereka.
Dakwaan komplot 'mafia korporat' dibuat oleh portal kewangan antarabangsa Bloomberg pada Februari lalu.
Mengulas lanjut Muhammad Faisal berkata dakwaan isu berkenaan mengundang persoalan serius mengenai integriti institusi penguatkuasaan undang-undang negara dan menghakis keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan, khususnya badan pencegahan rasuah di Malaysia.
Katanya, sehingga kini kerajaan belum memberikan komitmen yang jelas untuk menubuhkan sebuah badan siasatan bebas yang mampu menjalankan siasatan secara menyeluruh, telus dan tanpa campur tangan.
“Kegagalan kerajaan mendedahkan dapatan jawatakuasa khas yang menyiasat isu pengundiak saham Azam hanya menambahkan persepsi bahawa terdapat usaha untuk menutup isu yang melibatkan kepentingan awam.
“Dakwaan berkaitan kewujudan ‘mafia korporat’ yang melibatkan pegawai penguat kuasa tidak boleh dibiarkan berlalu tanpa siasatan bebas yang benar-benar berwibawa,” jelasnya.
Isu rentas parti
Tambah Muhammad Faisal, pihak sekretariat itu menyeru setiap ahli parlimen tanpa mengira blok politik agar menyokong penubuhan RCI tersebut.
Pihak sekretariat juga, katanya, akan menghubungi wakil rakyat termasuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim sama ada secara bersemuka atau melalui kaedah altenatif bagi menggesa mereka menyatakan pendirian.
“Sokongan 34 orang ahli parlimen pelbagai parti politik ini membuktikan bahawa isu integriti institusi, pembanteras rasuah dan akauntabiliti kerajaan merupakan isu yang merentasi sempadan politik dan bukannya agenda mana-mana parti tertentu,” katanya lagi.
Berikut senarai nama ahli-ahli parlimen yang menyokong penubuhan RCI ‘mafia korporat’ setakat ini:
Amanah:
1. Mohd Sany Hamzan (Hulu Langat)
2. Azli Yusof (Shah Alam)
DAP
1. Syahredzan Johan (Bangi)
2. Howard Lee Chuan How (Ipoh Timur)
3. Young Syefura Othman (Bentong)
4. Syerleena Abdul Rashid (Bukit Bendera)
5. Vivian Wong Shir Yee (Sandakan)
6. Teresa Kok (Seputeh)
7. Khoo Poay Tiong (Kota Melaka)
PKR
1. Wong Chen (Subang)
2. Prabakaran Parameswaran (Batu)
3. Hassan Karim (Pasir Gudang)
4. Zahir Hassan (Wangsa Maju)
5. Lee Chean Chung (Petaling Jaya)
6. Kesavan Subramaniam (Sungai Siput)
7. Rodziah Ismail (Ampang)
8. Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau)
PAS
1. Mohd Hasnizan Harun (Hulu Selangor)
2. Dr Halimah Ali (Kapar)
3. Mohd Misbahul Munir Masduki (Parit Buntar)
4. Wan Razali Wan Nor (Kuantan)
5. Awang Hashim (Pendang)
6. Afnan Hamimi Taib Azamudden (Alor Setar)
7. Mohd Syahir Sulaiman (Bachok)
8. Ahmad Yahaya (Pokok Sena)
9. Nik Zawawi Nik Salleh (Pasir Puteh)
Bersatu
1. Azman Nasrudin (Padang Serai)
2. Mohd Suhaimi Abdullah (Langkawi)
3. Muslimin Yahaya (Sungai Besar)
4. Rosol Wahid (Hulu Terengganu)
Wawasan
1. Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang)
Umno
1. Mohd Kurniawan Naim Mokhtar (Kinabatangan)
Star
1. Jeffrey Kitingan (Keningau)
Upko
1. Madius Tangau (Tuaran)





