Pemimpin DAP menyanggah dakwaan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang mendakwa parti itu memimpin PH menyambung kerja penjajah untuk hapuskan Melayu-Islam.
Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP Sheikh Umar Bagharib Ali menyifatkan cara anggota parlimen Marang itu berpolitik sangat berbahaya.
“Cara politik Abdul Hadi Awang ini sangat berbahaya. Macam ambil kerja tuhan,” katanya dalam kenyataan balas terhadap tulisan terbaru Minda Presiden PAS, hari ini.
Hadi dalam tulisannya itu antara lain mendakwa PH yang dikuasai DAP mengambil langkah terbuka bagi meneruskan agenda penjajah yang bertujuan menyingkirkan Islam dan Melayu.
Dia turut mendakwa DAP mengutamakan bahasa Inggeris bagi menyingkirkan bahasa Melayu yang menjadi peranantaraan masyarakat majmuk di Tanah Melayu dan meletakkan calon Islam di kawasan Melayu serta memperjuangkan sekularisme.

Sementara itu Sheikh Umar yang juga ahli Dewan Negara menegaskan betapa DAP menyokong Perlembagaan Malaysia dan bergerak mengikut lunas perlembagaan.
“Perlembagaan telah mendukung kedudukan Islam dengan jelas.
“Jika DAP menolak Islam, DAP pasti diharamkan sebab menolak apa yang termaktub dalam perlembagaan. Kenyataan Hadi Awang hanyalah permainan politik.
“Tapi begitulah, Abdul Hadi Awang bagi saya seorang 'penghukum agama' bukan pendakwah,” katanya.





