Cadangan untuk mengkaji semula lebih 3,000 undang-undang lapuk akan dibawa ke kabinet minggu depan, kata Menteri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said.
Katanya perubahan masa dan teknologi memerlukan undang-undang yang ditinggalkan penjajah itu dikaji semula.
"Dalam 3,000 lebih ni, kita kena tengok sama ada nak buat jawatankuasa khas (atau tidak), kerana banyak agensi yang terlibat.
"Kalau undang-undang itu digubal sebelum merdeka maka undang-undang itu dibuat oleh kerajaan British atas objektif mereka sebagai koloni.
"Kita kena kaji sampai bila kita nak hidup dengan undang-undang mereka? Banyak pendekatan mereka bukan pendekatan lapuk tapi tu pendekatan penjajah.
"Negara kita sudah berapa tahun merdeka takkan kita nak guna undang-undang penjajah?
"Bukan semua tak elok, kita kaji, kita nilai," katanya ketika ditemui semasa berkempen di Kampung Limau Kasturi, Gua Musang.
Menurut Azalina lagi, antara aspek perlu dilihat semula ialah berkaitan dengan isu dunia digital yang tidak dapat ditangani oleh undang-undang lama.
"Undang-undang sekarang (membabitkan) digital tak mencukupi, nak tangkap (pesalah) susah, hukumannya minimum.
"Undang-undangnya ada tapi tak melengkapi," katanya lagi.





