Kepimpinan Barisan Nasional (BN) akan membincangkan rancangan Parti Progresif Rakyat (MyPPP) untuk kembali sebagai komponen teras gabungan itu.
Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi menyatakan keyakinannya bahawa pemimpin gabungannya akan bersimpati dengan nasib parti itu.
“Saya tahu parti ini telah melalui pasang surut dalam mengharungi arus politik tanah air dan mereka akhirnya telah dapat keputusan yang muktamad daripada mahkamah bahawa perpisahan kepada parti ini dari segi perundangan tidak boleh dipertikaikan lagi.
"Untuk itu kita akan membawa rayuan yang dibuat oleh kepimpinan (MyPPP) untuk melihat keputusan yang dibuat oleh kepimpinan terdahulu," katanya pada sidang media pada perhimpunan agung tahunan MyPPP ke-71 di WTCKL hari ini.





