Kementerian Pertahanan (Mindef) mengarahkan anggota Batalion Malaysia (Malbatt) 850-13 supaya meningkatkan langkah keselamatan dan sentiasa berwaspada susulan situasi keselamatan yang semakin mencabar di zon konflik peperanangan di Lubnan.
Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin berkata langkah itu penting bagi memastikan keselamatan anggota pengaman negara yang kini bertugas di kawasan konflik sentiasa terjamin.
"Kita telah memberikan panduan bahawa ancaman dan cabaran sebegini memang boleh berlaku, dan kita menasihati pasukan supaya mengambil tindakan berjaga-jaga," katanya selepas merasmikan Program Jiwa Murni Madani Mindef di Sekolah Kebangsaan Johor Kampong, di Kota Tinggi hari ini.
Mengulas insiden serangan udara di kawasan berhampiran Haris di selatan Lubnan pada Khamis, Mohamed Khaled berkata, kecederaan dua anggota pengaman Malaysia berpunca daripada serpihan bom yang jatuh berhampiran lokasi anggota terbabit, bukannya akibat serangan secara langsung.
“Semua anggota yang cedera telah menerima rawatan daripada pasukan perubatan yang bertugas di sana dan keadaan mereka stabil,” katanya.
Sementara itu, Mohamed Khaled berkata Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sedang menilai semula kedudukan pasukan pengaman di Lubnan berikutan mandat misi Pasukan Interim PBB di Lubnan (Unifil) dijadualkan tamat pada Dis ini.
Menurutnya peranancangan semasa kerajaan ialah membawa pulang semua anggota Malbatt pada akhir tahun ini.
“Bagaimanapun, sekiranya PBB memutuskan bahawa kehadiran pasukan pengaman masih perlu diteruskan bagi mengelakkan Lubnan menjadi padang jarak padang tekukur, Malaysia bersedia untuk mempertimbangkan kerjasama tersebut," katanya.
Dia turut bersyukur kerana setakat ini tiada sebarang insiden kehilangan nyawa melibatkan anggota Malaysia, berbeza dengan situasi yang menimpa beberapa pasukan pengaman negara lain di kawasan konflik berkenaan.





