Isteri bekas perdana menteri, Najib Razak, iaitu Rosmah Mansor, mengeluarkan kenyataan yang menafikan sekeras-kerasnya semua dakwaan yang mengaitkan dirinya dengan pembelian hartanah mewah di New Jersey, Amerika Syarikat.
Ia susulan kenyataan ahli perniagaan Daing A Malek Daing Rahaman yang semalam turut menafikan dakwaan mengaitkannya dengan pembelian hartanah tersebut menerusi kenyataan kepada Bernama.
Dakwaan berkenaan dibuat oleh seorang pengguna X bernama Mark Lansvin menerusi sebuah video yang dikongsi di platform X.
Malaysiakini menyiarkan semula kenyataan penuh Rosmah yang diterjemah daripada bahasa Inggeris seperti berikut:
Saya menulis sebagai respons kepada penyebaran meluas di pelbagai platform media sosial termasuk X (dahulunya Twitter) dan Facebook, yang melibatkan beberapa video mengandungi tuduhan serius, palsu dan berunsur fitnah terhadap saya serta ahli keluarga saya.
Saya menyatakan dengan sejelas-jelas dan setegas-tegasnya bahawa saya menafikan setiap satu daripada tuduhan tersebut secara keseluruhan.
Saya tidak pernah, pada bila-bila masa, terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam pembelian, pembiayaan, pemindahan atau pemilikan mana-mana hartanah mewah - termasuk mana-mana hartanah yang didakwa bernilai AS$13 juta - dan saya juga tidak pernah membiayai, memudah cara atau mengatur apa-apa transaksi sedemikian bagi pihak menantu saya atau mana-mana individu atau entiti lain.
Dakwaan yang cuba mengaitkan saya dengan penggunaan syarikat proksi (shell companies), struktur kewangan luar pesisir (offshore), atau hubungan dengan mana-mana individu dan entiti yang dinamakan dalam video-video tersebut adalah sama sekali tidak berasas, tidak benar dan direka secara berniat jahat.
Dakwaan tersebut tidak disokong walau sedikit pun oleh bukti yang boleh dipercayai, dan tidak lebih daripada satu kempen yang dirancang serta disengajakan untuk memfitnah saya dan mencemarkan nama baik keluarga saya.
Penerbitan dan penyebaran dakwaan-dakwaan ini jelas merupakan perbuatan fitnah dan penyebaran maklumat palsu secara berniat jahat. Kandungannya mengelirukan, amat tidak bertanggungjawab dan nyata bertujuan memperdaya orang ramai, menjejaskan keyakinan terhadap proses yang sah di sisi undang-undang, serta menyebabkan kerosakan serius dan tidak boleh diperbaiki terhadap reputasi saya dan keluarga saya.
Memandangkan keseriusan perkara ini, pada 14 Jun 2026 saya telah membuat satu laporan polis rasmi supaya pihak berkuasa berkaitan menjalankan siasatan yang menyeluruh dan lengkap terhadap individu-individu serta mana-mana pihak dan akaun yang terlibat dalam penciptaan dan penyebaran bahan palsu, berniat jahat dan berunsur fitnah ini.
Saya memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan tetap komited untuk terus berbuat demikian.
Saya juga menuntut dengan sekeras-kerasnya agar semua pengendali platform media sosial yang berkaitan mengambil tindakan segera dan tegas untuk memadam, menyekat serta menghalang sebarang penyebaran lanjut bahan-bahan palsu dan berunsur fitnah ini.
Saya dengan ini mengekalkan semua hak yang diperuntukkan kepada saya di sisi undang-undang, termasuk hak untuk memulakan tindakan sivil dan meneruskan prosiding jenayah terhadap mana-mana individu atau pihak yang telah menerbitkan, menerbitkan semula, berkongsi atau terus menyebarkan dakwaan palsu dan memudaratkan ini.
Saya menyeru orang ramai dan pihak media agar bertindak secara bertanggungjawab dan berhemah, tidak memperbesarkan kandungan yang belum disahkan, palsu atau berunsur fitnah, serta memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan tanpa gangguan atau pengaruh, selaras dengan proses undang-undang yang sewajarnya.
Kenyataan ini dikeluarkan tanpa menjejaskan segala hak dan remedi yang tersedia kepada saya di sisi undang-undang, yang mana semuanya dikekalkan sepenuhnya.
Datin Seri Rosmah Mansor.





