Ahli perniagaan terkenal Tan Sri Daing A Malek Daing Rahaman menafikan sekeras-kerasnya dakwaan di media sosial yang mengaitkannya dengan pembelian sebuah hartanah mewah di New Jersey, Amerika Syarikat.
Dalam kenyataan hari ini, beliau merujuk kepada dakwaan yang tular bersama satu video di platform media sosial ‘X’ (dahulunya dikenali sebagai Twitter) yang kemudian disebarkan semula di internet oleh seorang pengguna bernama Mark Lansvin menerusi akaun @lansvin.
Menurut dakwaan berkenaan, Datin Seri Rosmah Mansor, isteri kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, didakwa mengarahkan serta membiayai pembelian sebuah rumah agam bernilai USD13 juta di Margos Way, New Jersey pada Julai 2025, kawasan yang digelar ‘billionaire’s row’.
Laporan itu turut mendakwa pembeli berdaftar ialah menantu mereka, Daniyar Kessikbayev.
Selain itu, dakwaan berkenaan turut menyebut bahawa pada Mei 2026, melalui deklarasi amanah sulit, hartanah tersebut dipindahkan kepada Daran Investments Capital Inc, sebuah syarikat luar pesisir (BVI) yang didakwa tidak telus dengan Daing A Malek dikaitkan sebagai pemegang saham syarikat berkenaan.
Laporan itu juga mendakwa pihak berkuasa Amerika Syarikat sedang menjejaki aliran wang melalui proksi.
Menafikan perkara tersebut, Daing A Malek berkata semua dakwaan yang mengaitkannya adalah tidak benar, tidak berasas, berunsur fitnah dan mengelirukan.
“Semua tuduhan yang dikaitkan dengan saya dalam penerbitan itu adalah palsu, tidak berasas, berunsur fitnah dan amat mengelirukan. Saya dengan tegas, jelas dan tanpa sebarang keraguan menafikan setiap kenyataan yang mengaitkan saya,” katanya.
Beliau berkata penyebaran dan pengedaran semula dakwaan palsu itu telah menjejaskan reputasi, watak serta integriti peribadinya.
“Semua pihak diberi amaran bahawa sebarang penerbitan, penyiaran semula, perkongsian atau penyebaran kenyataan palsu ini akan menyebabkan tindakan undang-undang dan pendakwaan jenayah,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak mempercayai atau menyebarkan sebarang maklumat tidak sahih berkaitan dakwaan berkenaan kerana ia boleh dianggap sebagai penerbitan fitnah berterusan.
“Saya dengan tegas mengekalkan semua hak dan remedi di sisi undang-undang, termasuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang bertanggungjawab,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa satu laporan polis telah dibuat dan pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan, termasuk mengesan pihak yang terlibat dalam penyebaran serta pengedaran maklumat berkenaan.





