Azam Baki sedang mempertimbangkan untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap ahli perniagaan Albert Tei selepas individu itu mengaitkan bekas ketua pesuruhjaya SPRM tersebut dalam beberapa dakwaan berhubung skandal rasuah Sabah.
Menurut New Straits Times, Azam dipetik berkata dia akan berunding dengan peguamnya sebelum menentukan tindakan seterusnya terhadap Tei.

“Dakwaan yang dilemparkan terhadap saya adalah tidak berasas sama sekali dan telah mencemarkan reputasi saya.
“Saya sedang mempertimbangkan untuk menyamannya (Tei) dan akan membincangkan perkara itu dengan peguam saya terlebih dahulu,” kata Azam.
Sambil mengesahkan bahawa dia sudah berhubung dengan penyiasat polis dan akan memberikan kenyataannya kepada mereka, Azam menegaskan bahawa dia tidak pernah “berurusan secara langsung” dengan Tei sambil mempersoalkan dakwaan ahli perniagaan itu mengenai kononnya wujud ugutan.
"Saya tidak tahu apa yang dia (Tei) ini dakwa. Saya tidak pernah bercakap dengannya secara langsung.
"Malah, saya juga tidak pernah mengarahkan mana-mana peguam yang mewakili saya untuk berurusan dengannya secara terus," tambahnya.
Azam sekali gus mempersoalkan motif di sebalik semua tuduhan berkenaan.

Namun, katanya, dia mengalu-alukan siasatan berhubung perkara itu dan akan memberi kerjasama penuh kepada polis.
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman M Kumar mengesahkan bahawa polis dijangka memanggil Azam bagi membantu siasatan berhubung laporan yang dibuat oleh Tei, yang menurut Kumar mendakwa dia diugut oleh Azam melalui peguamnya.
Bercakap pada sidang media, Kumar menambah bahawa siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan atas ugutan jenayah.
Pada 13 Mei, Tei membuat laporan polis mendakwa Azam mengugutnya dan cuba menghalangnya daripada mendedahkan skandal lesen perlombongan Sabah pada November 2024.
Dalam laporan polis itu, yang dibuat di Putrajaya sehari selepas Azam bersara daripada jawatannya daripada agensi pencegah rasuah itu, Tei mendakwa insiden itu berlaku pada 10 Nov 2024, ketika dia dalam proses mendedahkan skandal yang melibatkan 15 ahli politik kanan Sabah.

Ahli perniagaan itu juga mendakwa dia memiliki bukti dokumentari yang lengkap, termasuk senarai individu yang mempunyai pengetahuan langsung tentang kejadian itu, serta rekod perbualan melalui WhatsApp dan platform komunikasi lain dengan pihak berkaitan.
Dia menambah bahawa sebab utama dia tidak melaporkan perkara itu lebih awal adalah kerana takut akan “tindakan balas” daripada Azam, yang menurut ahli perniagaan itu mempunyai pengaruh dan kuasa besar untuk “menindasnya” melalui jawatannya sebagai pegawai tinggi anti-rasuah negara.
Tei sejak itu didakwa di dua mahkamah berasingan atas pertuduhan berkaitan rasuah berikutan pendedahannya.
Di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pada 30 Jun tahun lepas, Tei mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menawarkan rasuah kepada Adun Tanjung Batu Andi Suryady Bandy dan bekas Adun Sindumin Yusof Yacob.
Kedua- dua ahli politik itu juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah daripada Tei.

Pada Disembe lalur, Tei memohon untuk dibicarakan bagi empat lagi pertuduhan memberi rasuah RM176,830 kepada bekas pembantu Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Shamsul Iskandar Akin.
Bekas pengerusi PKR Melaka itu juga mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menerima rasuah, yang didakwa diterimanya untuk membantu syarikat Tei mendapatkan lesen perlombongan mineral di Sabah.





