Ketua Penerangan Umno Azalina Othman Said mengingatkan pengundi bahawa soal tanah sememangnya di bawah kerajaan negeri, namun pembangunan tetap di bawah kerajaan pusat.
Katanya, soal pembangunan infrastruktur asas kepada rakyat di bawah seliaan kerajaan pusat dan rakyat harus memilih Adun yang boleh membawa suara kepada Putrajaya.
"Saya nak ingatkan penduduk Nenggiri banyak perkara melibatkan bawah seliaan kerajaan pusat. Walaupun tanah ini milik kerajaan negeri tapi pelaksanakan soal perparitan, hospital, mahkamah, naik taraf mahkamah semua di bawah kuasa kerajaan pusat.
"Apabila kita pilih Adun mewakili suara dari kerajaan pusat lebih mudah, lebih senang. Kalau tengok kawasan Nenggiri ketingalan (dari segi pembangunan) berlaku sejak 2018 bila kemenangan diberi pihak lain, bukan kerajaan BN," katanya ketika ditemui media.
Azalina berkata demikian ketika turun berkempen di Kampung Limau Kasturi, Gua Musang di Kelantan, hari ini.
Isu tanah khususnya membabitkan peneroka Kesedar menjadi perdebatan antara parti yang bertanding dalam PRK DUN Nenggiri kali ini.
Menteri Besar Kelantan, Mohd Nassuruddin Daud mendakwa isu tanah peneroka Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) hanya boleh diselesaikan kerajaan negeri Kelantan.
Manakala Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi pula mendakwa tanah peneroka Kesedar adalah milik badan itu dan diurus lembaga berkenaan.
Sementara itu, Azalina berkata kerajaan PAS Kelantan tidak akan tumbang jika PN memenangi kerusi DUN Nenggiri 17 Ogos nanti.
Katanya, kemenangan calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mampu menjadi jambatan penghubung sebagai wakil rakyat negeri dengan kerajaan pusat.
“Tak hilang kerajaan negeri PAS kalau BN menang. Kepimpinan mereka tetap ada, tak akan sumbang suara kalau kalah.
“Kalau BN menang kita nak kesinambungan wakil rakyat negeri sama dengan pusat boleh bersuara.
“Saya harap pengundi akan memilih seorang yang ada pengalaman yang dapat membantu memajukan kawasan dan akan memberi fokus kepada perkhimatan," katanya lagi.
PRK Nenggiri yang akan berlangsung Sabtu ini akan menyaksikan Azmawi berdepan calon PN, Mohd Rizwadi Ismail dari Bersatu yang juga merupakan bekas Timbalan Ketua Pemuda PAS Gua Musang.





