Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, hari ini mengambil tanggungjawab penuh atas prestasi hambar parti itu – dan PH – dalam PRN yang berlangsung pada 1 Ogos lalu dan sedia berundur dari jawatannya.
Aminuddin yang berdepan dengan desakan dalaman ekoran kputusan tersebut berkata, dia juga memohon maaf atas sebarang kelemahan atau kekurangan sepanjang tempoh mengetuai pentadbiran Negeri Sembilan.
"Saya ambil maklum desakan enam (daripada keseluruhan lapan ketua cabang PKR Negeri Sembilan (yang membuat tuntutan melepaskan jawatan pengerusi PKR negeri). Saya bersetuju secara terbuka dengan tuntutan tuan-tuan.
"Saya bertanggungjawab sepenuhnya ke atas keputusan di Negeri Sembilan. Justeru, saya akur dan memohon maaf atas segala kekurangan sepanjang memimpin negeri ini.
"Jika parti memutuskan untuk mengambil sebarang tindakan demi masa depan PKR, saya sedia akur,” katanya.
Pada masa sama, kata Aminuddin, dia meminta semua ahli dan penyokong parti itu menyedari bahawa kekalahan dalam pilihan raya bukanlah penamat untuk segala-galanya.
Sebaliknya, kata bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu lagi, kekalahan boleh menjadi titik permulaan yang baru untuk PKR bangkit semula..
Dia berkata demikian semasa sesi penggulungan Kongres Nasional PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.
Untuk rekod, pada PRN Negeri Sembilan lalu, PKR hanya mampu mempertahankan dua kerusi iaitu DUN Chuah dan Sri Tanjung.
Aminuddin sendiri – yang bertanding di DUN Linggi – tewas dalam saingan tiga penjuru kepada calon BN Mohd Faizal Ramli. Dia kalah dengan majoriti 2,976 undi.
Mengulas lanjut, Aminuddin yang juga Naib Presiden PKR berkata, dia menyerahkan kedudukannya kepada pertimbangan kepimpinan parti.
"Jawatan bukan milik saya, amanah adalah milik parti.
"Keputusan pilihan raya ini merupakan cerminan serta terjemahan suara rakyat terhadap kita. Jangan sesekali kita menuding jari atau menyalahkan rakyat atas pilihan mereka.
"Kita tidak boleh mendakwa rakyat telah membuat keputusan yang salah, sebaliknya kitalah yang wajib memikul tanggungjawab ini," katanya.





