Sekurang-kurangnya dua orang maut selepas gempa bumi bermagnitud 7.7 melanda Flores di wilayah Nusa Tenggara Timur, Indonesia pada awal pagi Sabtu, ketika pihak berkuasa terus menilai kerosakan dan memantau puluhan kejutan lanjur.
Jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Berton Suar Pelita Panjaitan berkata angka itu berdasarkan maklumat terkini yang diterima, dengan pihak berkuasa terus mengesahkan jumlah korban dan tahap kerosakan.
“Kami baru sahaja menerima maklumat terkini bahawa dua orang maut. Kami terus memantau maklumat dan akan mengumumkan secara rasmi jumlah kematian serta kerosakan bangunan akibat gempa bumi itu,” katanya pada sidang media secara dalam talian.
Gempa bumi itu berlaku pada 4.58 pagi waktu tempatan, dengan pusat gempa di laut kira-kira 30 kilometer (km) dari Mbay, wilayah Nusa Tenggara Timur, pada kedalaman 15 km, menurut Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG).
BMKG memaklumkan sebanyak 37 kejutan lanjur direkodkan setakat ini, dengan penduduk dinasihatkan supaya kekal berwaspada dan mengelak daripada memasuki bangunan yang rosak kerana gegaran seterusnya mungkin berlaku.
Bagaimanapun, agensi itu memaklumkan bahawa amaran tsunami yang dikeluarkan susulan gempa bumi berkenaan ditamatkan pada 7.30 pagi Waktu Indonesia Barat selepas pemantauan mendapati tiada tsunami atau kenaikan paras air laut yang berbahaya.
Pengarah Gempa Bumi dan Tsunami BMKG Wijayanto berkata gempa bumi bermagnitud 7.7 itu berpunca daripada aktiviti di sepanjang Sesar Lengkok-Belakang Flores, yang berpotensi menghasilkan gempa bumi sehingga magnitud 7.8 hingga 7.9.
“Berdasarkan rekod sejarah, gempa bumi bermagnitud 7.5 berlaku pada 1992 dan menyebabkan kemusnahan yang sangat besar ketika itu. Selepas hampir 30 tahun, gempa bumi pada skala ini berlaku lagi,” katanya.
Wijayanto berkata kejutan lanjur boleh berterusan selama beberapa minggu tetapi dijangka berkurangan secara beransur-ansur dari segi kekerapan dan magnitud, dengan kejutan lanjur terkuat yang direkodkan setakat ini bermagnitud 6.2.
Laporan awal menunjukkan kerosakan sederhana hingga teruk di beberapa kawasan di Maumere, Manggarai Barat dan Labuan Bajo, termasuk beberapa bahagian dinding rumah yang runtuh. Kerosakan sederhana turut dilaporkan di Pelabuhan Maumere.
BMKG memaklumkan pasukannya akan menjalankan tinjauan di kawasan terjejas pada Sabtu, manakala Berton berkata BNPB sedang menjalankan penilaian pantas bagi mengesahkan jumlah korban, kerosakan serta keadaan kemudahan kesihatan dan bangunan lain.





