Siasatan kes sindiket Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) atau lebih dikenali sebagai sindiket pemutihan warga asing didakwa dikelaskan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Tiga sumber–daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), pemain industri dan imigresen–mendakwa keputusan itu telah dibuat tetapi tarikh dan sebabnya tidak didedahkan kepada Malaysiakini.
Bagaimanapun Jabatan Peguam Negara (AGC) setakat ini tidak menafi atau mengesahkan dakwaan itu, walaupun pada mulanya berjanji memberikan maklum balas kepada soalan portal ini.
Pada 11 Mei, seorang pegawai AGC memaklumkan bahawa mereka sedang menyediakan jawapan kepada soalan Malaysiakini.
Namun, sehingga hari ini–lebih tiga minggu–masih tiada jawapan diberikan berkaitan sindiket didakwa melibatkan orang dalam imigresen itu.

Soalan itu pada mulanya dihantar kepada AGC pada 5 Mei.
Pada 25 Nov 2025, sumber SPRM memberitahu Malaysiakini bahawa mereka menahan 11 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berhubung sindiket RTK.
Sementara itu, usaha Malaysiakini untuk mendapat ulasan rasmi daripada JIM juga belum berjaya atas alasan mereka tidak terlibat dalam siasatan.
"Mereka (pegawai JIM) ditahan oleh SPRM. Kami (JIM) tak terlibat.
"Kami serah kepada SPRM untuk mengambil sebarang tindakan," kata seorang pegawai pejabat ketua pengarah JIM yang enggan namanya didedahkan.
RTK adalah program pemutihan untuk mengambil warga asing yang tinggal lebih masa serta tiada permit bekerja secara sah.
RTK1.0 mula dilaksanakan pada 28 Disember 2020 lalu sebagai program khas meregulasikan pendatang asing tanpa izin (Pati). RTK2.0 pula diperkenalkan pada 27 Januari 2023 sehingga 31 Disember 2023.
Menurut laporan media, dalam tempoh tujuh bulan pertama pelaksanaan RTK2.0 sahaja, seramai 720,099 Pati mendaftar, membabitkan 51,753 majikan.
Bayaran rekalibrasi untuk RTK 2.0 adalah RM1,500 untuk setiap pekerja, manakala kos levi pula antara RM640 ke RM1,850 mengikut sektor, bersama dengan bayaran pas RM60 dan proses RM125.
Namun, wujud dakwaan daripada beberapa ejen tempatan dan warga asing bahawa terdapat pihak tertentu mengaut keuntungan besar jutaan ringgit.
Beberapa ejen tempatan dan warga asing mendakwa mereka membayar tambahan RM3,000 kepada pegawai imigresen untuk setiap permohonan.
Beberapa ejen tempatan dan warga asing mendedahkan bahawa mereka membayar pegawai imigresen untuk mendapatkan kelulusan cepat, termasuk proses cap jari, nombor giliran, dan pelekat pas sementara.
Laporan Malaysiakini juga mendedahkan dakwaan seorang pegawai JIM–yang turut ditahan–mengaut jutaan ringgit daripada sindiket ini dan melaburkannya dalam perniagaan restoran nasi kandar di Lembah Klang.





