Seminggu sebelum pemergian Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, pelakon Datin Seri Umie Aida sempat menganjurkan sebuah majlis bersama Allahyarham dan menghimpunkan beberapa penggiat seni tanah air.
Artikel Berkaitan: ‘Ini Mungkin Persembahan Terakhir’ – Siti Nurhaliza Kenang Momen Bersama Allahyarhamah Tun Dr Hasmah
Momen terakhir bersama arwah

Menceritakan kembali momen tersebut, Umie, 53, berkata dia bersyukur kerana berkesempatan merealisasikan hasrat untuk mempertemukan rakan dalam industri seni dengan Tun Siti Hasmah serta suami, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Kalau sesiapa yang mak ayah mereka dan kita hidup pada zaman pemerintahan Tun Mahathir dan Tun Siti Hasmah, kita dapat lihat semangatnya.
Beliau sangat disayangi oleh orang tua kita, orang kampung. Memang semua sayang beliau. Jadi, perjuangan beliau itu sudah berzaman.
Sampai umur berapa pun, beliau tetap terus berjuang. Sebab itu kita ada rasa sayang dan hargai, kita sangat menghargai perjuangan beliau.
Bila ramai kawan-kawan minta nak jumpa, saya selalu fikir, ‘Okey, nanti ada rezeki’. Tapi bila dengar keadaan Tun yang semakin tidak sihat, dalam masa sama kita pula sibuk dengan shooting, saya rasa kena buat.
Umie berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis tayangan perdana drama Dia Perempuan Sialan yang berlangsung di sekitar ibu kota, baru-baru ini.
Menurut Umie, dia tidak menyangka majlis tersebut mendapat respon baik daripada rakan selebriti, malah melebihi jangkaannya.
Saya ajak semua artis, termasuk artis veteran dan orang baharu. Mula-mula saya fikir, dalam 70 orang cukup. Tak payah besar-besar sebab tempat tidak besar, agak kecil. Sekali respons yang diterima lebih daripada 100 orang.
Itulah momen dan kenangan kita sebagai anak seni yang akan kita ingat selama-lamanya. Sebab pada zaman pemerintahan beliau, beliau sangat menyokong industri perfileman, industri teater dan industri seni.
Tambah Umie, majlis tersebut turut meninggalkan kenangan manis apabila Tun Siti Hasmah dan Tun Dr Mahathir dilihat gembira bertemu dengan para penggiat seni yang hadir.
Mereka sangat gembira dan seronok. Kalau kita ada mak atau bapak yang sudah tua, apa yang memberi tenaga kepada mereka? Mereka tak perlukan apa-apa lagi. Mereka cuma nak dihargai.
Terdahulu, Malaysia dikejutkan dengan berita pemergian Tun Dr Siti Hasmah pada Isnin selepas Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN).
Allahyarhamah yang merupakan isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, meninggal dunia pada usia 100 tahun dan meninggalkan tujuh orang anak.
The post ‘Mak Ayah Kita Yang Hidup Zaman Tun, Dapat Lihat Semangatnya’ – Umie Aida first appeared on OHBULAN!.





