
Bekas isteri kepada pelakon, Hafidz Roshdi iaitu Nurul Shuhada Mat Shukri menafikan dakwaan pelakon itu yang mengatakan dirinya sukar dihubungi sejak berpindah ke Australia.
Nafi sukar dihubungi
View this post on Instagram
Menerusi temu bual bersama Melodi TV3, Shuhada memaklumkan dia masih lagi menggunakan nombor telefon bimbit Malaysia untuk memudahkan urusan Hafidz berhubung dengan anak.
Walau bagaimanapun, Shuhada mendakwa Hafidz yang tidak pernah berusaha berhubung dengannya bagi berinteraksi dengan anak-anak.
Saya nak menangkis dakwaan Hafidz mengatakan saya tak respon panggilan telefon dia.
Kalian (team Melodi) telefon pun, saya masih guna nombor telefon Malaysia.
Saya dah setahun duduk di sini tetapi masih menggunakan nombor telefon Malaysia sebab saya tak nak putuskan hubungan seorang ayah dan anak.
Kalau nak bercakap dengan anak, telefon saja saya, tak ada masalah.
Saya juga tak sekat dia di media sosial tetapi tak pernah pun dia mesej atau telefon bagitahu nak bercakap dengan anak-anak, tak pernah.
Kalau pernah, sila bagi bukti.
Dalam pada itu, ibu kepada dua orang anak ini berkongsi mengenai keputusan mahkamah mengenai tuntutan hak jagaan sementara bagi kedua anaknya iaitu Humairah dan Umar yang berlangsung di Mahkamah Syariah Shah Alam, pada Rabu.
Untuk pengetahuan semua, hak jagaan interim dan hak jagaan penuh difailkan oleh Hafidz jadi dia bertindak sebagai plaintif dan saya sebagai responden.
Tadi (Rabu), saya diberitahu bahawa mahkamah tetapkan keputusan hak jagaan interim sepenuhnya kepada responden pertama iaitu saya.
Keduanya, hak lawatan untuk cuti sekolah diberikan kepada Hafidz bermaksud kalau saya pulang ke Malaysia waktu cuti sekolah, saya perlu maklumkan kepada dia.
Kalau saya tak balik Malaysia, tak jadi masalah pun dan kalau dia nak jumpa anak-anak, boleh datang ke Australia.
Hafidz culas bab nafkah anak?
Ketika ditanya mengenai tanggungjawab Hafidz sebagai seorang ayah, Shuhada mendakwa pelakon drama ‘Raisha 2’ itu culas memberikan wang perbelanjaan kepada anak-anak.
Saya bukanlah jenis yang setiap bulan akan bertanya pada Hafidz soal nafkah anak tetapi saya akan bersuara kalau dia cuit saya berkenaan dengan itu.
Alang-alang dah diberi peluang untuk bercakap ini, saya nak maklumkan yang Hafidz memang tak menjalankan tanggungjawab dia sebagai seorang ayah.
Kalau dia rasa dia nak bagi, dia bagilah tapi kalau dia rasa tak nak bagi, dia tak bagi.
Menerusi temu bual yang sama, Shuhada memaklumkan dia juga tidak mempunyai sebarang halangan sekiranya Hafidz mahu datang ke Australia bagi berjumpa dengan dua anaknya.
Anak-anak sekarang bersekolah di sini dan cuti sekolah akan datang adalah pada bulan Julai.
Kalau dia nak tengok anak-anak, datanglah, tak ada masalah.
Tapi kalau dia nak saya balik Malaysia dan bawa anak-anak, saya tak rasa logik akalnya di situ.
Macam mana saya nak sewenang-wenangnya balik Malaysia bagi dia jumpa anak kalau saya sebagai ibu tunggal tanggung segalanya?
Kalau dia bagi duit tiket penerbangan ke mungkin saya boleh balik ke sana.
Pada Rabu, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam membenarkan Hafidz mendapat hak lawatan interim terhadap dua orang anak mereka iaitu Humairah dan Umar sepanjang tempoh cuti sekolah bermula 29 Mei sehingga 9 Jun depan.
Susulan itu, mahkamah memerintahkan Shuhada perlu pulang ke Malaysia dan menyerahkan anak-anak kepada Hafidz sepanjang tempoh cuti persekolahan.
Untuk rekod, Shuhada dan Hafidz mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor pada 27 Julai 2023.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 8, dan Umar yang kini berusia 5 tahun.





