Pelakon, Mhia Firdaus berkongsi filem Sayang Sayang sangat dekat dengan dirinya kerana mengingatkannya kepada arwah bapanya, Pitt Hanif yang juga merupakan pengarah drama dan filem.
Artikel Berkaitan: Tak Popular Di Malaysia, Tapi Dipandang Dunia? Ini Perjalanan Pelakon Tempatan Membina Nama Di Pentas Antarabangsa
Artikel Berkaitan: Farah Ahmad Tekankan Pentingnya Budaya Bergaul Di Set – ‘Panggil Rehearsal Tapi Tak Nak, Itu Masalah’
Imbau kenangan dengan arwah bapa

Ketika ditemui , Mhia, 20, berkata ketika menjalani pengambaran babak di laut dirinya kembali teringat kepada arwah bapanya, lebih-lebih lagi apabila mengenangkan detik-detik cemas yang dilalui Allahyarham sebelum meninggal dunia akibat lemas pada Oktober 2019.
Mengenangkan kembali, Mhia berkata arwah bapanya sempat menyelamatkan seorang rakan sebelum dihanyut arus deras.
Berdasarkan cerita yang diberitahu, sewaktu kejadian arwah bersama seorang rakannya. Arwah sempat berpaut, tetapi apabila melihat rakannya di belakang, dia menarik rakannya itu untuk berpaut pada besi.
Rakannya memberitahu perkara terakhir yang dilihatnya hanyalah lambaian tangan arwah ayah.
Jadi bila saya berada di dalam air, saya terfikir bagaimana seorang manusia boleh mencari ketenangan dan berserah sepenuhnya kepada sang Pencipta?
Mhia berkata demikian ketika ditemui pada tayangan media filem Sayang Sayang di TGV, KLCC pada malam Selasa.
Tambah anak kepada pelakon Farah Ahmad, setiap kali berada di dalam air, dia cuba menyelami perasaan yang mungkin dialami arwah bapanya.
Kadang-kadang bila air berombak ketika babak selaman, saya akan benamkan kepala ke dalam air, pemandangan memang akan nampak batu karang dan dasar laut.
Saya selalu terfikir, bagaimana arwah ayah boleh begitu percaya kepada Tuhan bahawa itu adalah waktu pengakhirannya dan bagaimana dia menghadapinya?
Bagi saya, laut tempat saya berlakon itu tenang dan sekadar kerja, bukan tragedi. Tetapi apa yang dihadapi arwah adalah sebuah tragedi.
Dalam keadaan tahu ajalnya sudah tiba, bagaimana dia masih membuat keputusan untuk menyelamatkan kawannya terlebih dahulu dan mempunyai keberanian untuk melambai sebagai tanda selamat tinggal.
Mhia tidak menafikan tindakan arwah bapanya yang sempat menyelamatkan rakannya sebelum memberikan lambaian terakhir sedikit sebanyak menjadi sumber kekuatan buat dirinya.
Waktu jenazahnya ditemui selepas empat hari, dadanya sudah naik menandakan dia menghela nafas terakhir dan tangannya berada di dada betul-betul seperti sedang solat.
Saya tidak berada di tempatnya dan saya bukan dia, jadi saya tidak tahu apa yang bermain di fikirannya.
Namun kekuatan arwah yang sempat memberi lambaian selamat tinggal kepada rakannya memberikan saya kekuatan sepanjang penggambaran filem ini bersama ibu.
Kata Mhia lagi, meskipun arwah bapanya sudah tiada, segala semangat dan pesanan yang ditinggalkan akan terus terpahat dalam ingatannya.
Arwah sentiasa berkata, ‘Ayah tahu kamu boleh buat, ini diri kamu, ini apa yang kamu usahakan dan ini apa yang telah kami ajar sebagai manusia. Ini masa kamu.’ Saya sangat bersyukur dengan kata-kata itu.
Secara fizikalnya, ayah memang sudah tiada di depan mata. Namun menerusi air dan laut itulah saya dapat merasakan kehadirannya.
Filem Sayang Sayang yang merupakan hasil kerjasama produksi Malaysia dan Taiwan arahan Tang Hsiang-Chu bakal menemui penonton di pawagam pada 5 November dengan menghimpunkan lebih 100 pelakon dan penggiat filem dari Malaysia, Taiwan serta India.
The post [VIDEO] Mhia Firdaus Kenang Arwah Bapa Menerusi ‘Sayang Sayang’ – ‘Ayah Memang Sudah Tiada Tapi…’ first appeared on OHBULAN!.





