29 C
Kuala Lumpur
Sunday, October 4, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Ulasan Filem: ‘Munafik: Melawan Iblis’ – Bila Roh Karya Malaysia Dibalut Dalam Nuansa Seram Indonesia

    Shopee Sale

    Hampir sedekad selepas Munafik arahan Syamsul Yusof meninggalkan kesan besar dalam genre seram religi Malaysia, dunia Ustaz Adam kini dibawa ke Indonesia menerusi Munafik: Melawan Iblis.

    Namun versi arahan Guntur Soeharjanto ini bukan sekadar menukar pelakon dan lokasi. Ia mengambil roh asas Munafik, kemudian membentuknya semula dengan latar masyarakat Indonesia, elemen budaya Jawa serta pendekatan seram yang lebih dekat dengan identiti filem horor negara itu.

    ARTIKEL BERKAITAN: Terkedu Dengar Bacaan Syamsul Yusof, Arya Saloka Belajar Tajwid & Rukyah Demi ‘Ustaz Adam’

    Bukan Sekadar Salin ‘Munafik’

    Kali ini, Ustaz Adam dimainkan Arya Saloka, seorang pengamal ruqyah yang masih bergelut dengan kehilangan dalam hidupnya.

    Dalam perjalanan itu, dia diminta membantu Fitri lakonan Acha Septriasa yang berdepan gangguan misteri. Cukup setakat itu untuk sinopsis kerana semakin sedikit diketahui, semakin baik pengalaman menontonnya.

    View this post on Instagram

    A post shared by Skop Productions 🎥 (@skopofficial__)

    Versi Indonesia turut diberikan identiti sendiri menerusi suasana kampung, unsur budaya tempatan dan pendekatan visual yang tidak terlalu bergantung kepada memori penonton terhadap filem asal.

    Dan itu keputusan yang tepat. Remake akan terasa kurang menarik jika tugasnya hanya meniru semula apa yang pernah berjaya.

    Acha Septriasa Antara Kekuatan Utama

    Berkesempatan menonton filem ini pada majlis tayangan perdana di Malaysia baru-baru ini, lakonan Acha Septriasa sangat cemerlang dan menjadi titik tumpu penggerak filem ini.

    Sebagai Fitri, Acha banyak bergantung pada permainan fizikal, perubahan gestur dan intensiti tubuh ketika membawa babak gangguan. Untuk filem kerasukan, kemampuan pelakon membuat penonton percaya bahawa ada sesuatu yang tidak kena sangat penting.

    Arya Saloka pula membawa Ustaz Adam dengan pendekatan lebih terkawal. Wataknya bukan sekadar individu yang datang melakukan ruqyah. Di sebalik ketenangan itu, Adam sendiri membawa kesedihan dan trauma yang belum selesai, menjadikan pertarungan dalam filem ini turut berlaku dalam dirinya sendiri.

    Seram Tak Bergantung Pada ‘Jump Scare’ Semata-Mata

    Munafik: Melawan Iblis masih mempunyai kejutan yang dijangka daripada filem seram, tetapi ketegangannya turut datang daripada suasana, pencahayaan, bunyi dan rasa tidak selesa yang dibina perlahan-lahan.

    Elemen psychological terror juga memainkan peranan, khususnya dalam hubungan antara Adam dan Fitri.

    MENARIK:  Suami Bagi ‘Green Light’ Untuk Dayana Roza Kembali Aktif Berlakon

    Latar Indonesia membantu memberikan filem ini suasana tersendiri. Kampung yang kelihatan tenang boleh bertukar menjadi ruang cukup mengganggu apabila kegelapan mula mengambil alih.

    Perbezaan paling ketara berbanding Munafik asal mungkin terletak pada fokus ceritanya. Versi Malaysia banyak bermain dengan persoalan keimanan, kemunafikan dan penerimaan terhadap takdir.

    Versi Indonesia pula kelihatan lebih menekankan misteri, trauma kehilangan dan persoalan mengenai siapa atau apa sebenarnya berada di sebalik gangguan yang berlaku.

    Ceritanya menjadi lebih padat apabila menghampiri bahagian akhir apabila semakin banyak konflik dan kejutan cuba dimasukkan serentak. Ia tidak semestinya menjadikan versi baharu lebih lemah, cuma fokusnya memang berbeza.

    Tak Perlu Berlumba Dengan Versi Syamsul Yusof

    Munafik: Melawan Iblis mungkin lebih mudah dinikmati apabila kita berhenti bertanya sama ada ia lebih bagus daripada Munafik.

    Versi asal sudah mempunyai identiti dan tempatnya sendiri dalam filem seram Malaysia. Remake ini pula menarik kerana melihat bagaimana premis yang sama diterjemahkan melalui bahasa visual dan budaya sinema Indonesia.

    Ia masih mempunyai Ustaz Adam, ruqyah, gangguan ghaib dan pertarungan manusia dengan sesuatu yang gelap. Tetapi kali ini, semuanya dibentuk melalui acuan berbeza.

    Berbaloi Tengok?

    Kalau mencari seram religi dengan suasana gelap, elemen ruqyah dan misteri, Munafik: Melawan Iblis mempunyai tarikan tersendiri.

    Acha Septriasa menjadi antara sebab paling kuat untuk menonton, manakala Arya Saloka memberikan Ustaz Adam sisi yang lebih terluka dan emosional.

    Cuma jangan masuk pawagam dengan niat mahu mencari semula setiap perkara yang pernah membuatkan Munafik versi Syamsul Yusof berjaya.

    Lebih menarik jika melihatnya sebagai interpretasi Indonesia terhadap dunia yang dilahirkan oleh filem Malaysia.

    Ada yang terasa familiar, ada yang sengaja dibuat berbeza. Dan untuk sebuah remake, itu mungkin lebih menarik daripada sekadar mengulang apa yang sudah kita tahu.

    Munafik: Melawan Iblis arahan Guntur Soeharjanto dibintangi Arya Saloka, Acha Septriasa, Dimas Aditya, Donny Damara dan Nova Eliza. Filem ini mula ditayangkan di Malaysia pada 1 Oktober 2026.

    The post Ulasan Filem: ‘Munafik: Melawan Iblis’ – Bila Roh Karya Malaysia Dibalut Dalam Nuansa Seram Indonesia first appeared on OHBULAN!.



    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah