29 C
Kuala Lumpur
Sunday, October 4, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Bukan Sekadar Wajah Kempen, Bkay Nair Mahu Rakan Artis Jadi Penggerak Ekonomi Fesyen

    Shopee Sale

    Dalam dunia hiburan, hubungan artis dengan fesyen bukan sesuatu yang baharu.

    Dari karpet merah, penggambaran editorial dan kempen jenama hinggalah pemilihan busana untuk acara besar, selebriti sering menjadi antara wajah paling mudah menarik perhatian kepada sesebuah rekaan.

    Namun bagi model dan aktres yang kini aktif sebagai usahawan, Bkay Nair, pengaruh artis sepatutnya tidak berhenti setakat memakai sesuatu rekaan atau menjadi wajah kepada sesebuah jenama.

    ARTIKEL BERKAITAN: Bkay Nair Perkenal Idea Sari, Angkat Hasil Tangan Banduan Penjara – ‘Mereka Menghasilkan Batik Yang Sangat Tinggi Nilai Seninya’

    Satu Penampilan Artis Libatkan Lebih Ramai Daripada Yang Dilihat

    Platform dan perhatian yang dimiliki selebriti boleh digunakan untuk membuka peluang kepada lebih ramai pemain di belakang industri, daripada pereka, model dan penggaya hinggalah jurugambar, jurusolek serta tenaga produksi.

    “Saya percaya sebagai seorang artis dan model, kita juga ada tanggungjawab. Kita berada dalam satu ekosistem yang saling berkait dan kalau kita mempunyai platform, kita perlu gunakan platform itu untuk membuka peluang kepada orang lain.

    “Bukan hanya untuk diri kita, tetapi bagaimana kita boleh membantu designer, grafik, model, stylist, photographer dan pemain industri lain mendapat peluang,” katanya.

    Apa yang dilihat khalayak mungkin hanya seorang selebriti mengenakan busana di hadapan kamera.

    Tetapi di belakang satu penampilan itu terdapat rangkaian tenaga kreatif yang jauh lebih besar.

    Menurut pelakon filem Ratu itu, industri fesyen tidak hanya terdiri daripada pereka dan model, tetapi turut merangkumi tekstil, kraftangan, produksi, fotografi, videografi, solekan, penggayaan, penjenamaan, pemasaran, peruncitan, e-dagang, media serta pengurusan acara.

    Justeru, apabila seorang artis menggunakan pengaruhnya untuk mengangkat sesebuah karya tempatan, kesannya berpotensi bergerak lebih jauh daripada sekadar publisiti.

    Ia boleh mencipta permintaan Dan apabila permintaan wujud, peluang perniagaan dan pekerjaan turut boleh berkembang.

    “Fesyen juga perlu dilihat sebagai a money-making business. Kreativiti memang penting, tetapi kita juga perlu melihat bagaimana kreativiti itu boleh menghasilkan nilai ekonomi, pendapatan dan banyak peluang bisnes,” katanya.

    Dari Cari Kerja Kepada Cipta Peluang

    Pemikiran itu turut menjadi antara asas di sebalik REKA RONA 2026, acara anjuran Persatuan Pembangunan Perniagaan Fesyen Malaysia (PEFEM) yang berlangsung di Kraftangan Malaysia, Kuala Lumpur pada 2 Oktober lalu.

    Berbanding hanya menampilkan koleksi di atas pentas, REKA RONA turut memberi ruang kepada institusi pendidikan, pelajar, pereka, model, artisan, media dan pasukan produksi mendapatkan pendedahan kepada dunia sebenar industri.

    Bagi Bkay yang merupakan Presiden PEFEM, generasi muda tidak seharusnya hanya melihat fesyen menerusi persoalan pekerjaan apa yang tersedia untuk mereka.

    “Saya mahu generasi muda bukan sahaja bertanya, ‘What job can I get in the fashion industry?’ tetapi juga ‘What opportunity can I create in the fashion industry?’” katanya.

    Di sinilah industri kreatif mempunyai potensi lebih besar. Seseorang mungkin bermula sebagai pereka, tetapi akhirnya membina jenama sendiri.

    Model pula mungkin berkembang ke dunia kandungan digital, manakala kemahiran dalam fotografi, pemasaran atau penggayaan boleh menjadi sebuah perniagaan.

    MENARIK:  Jaja Ishak Angkat Kisah Ibu Pilih Kasih Dengan Anak, Harap ‘Rahsia Kelabu’ Dapat Suntik Kesedaran

    Dalam kata lain, bakat tidak semestinya berakhir sebagai sebuah pekerjaan. Ia boleh menjadi aset ekonomi.

    Populariti Artis Boleh Jadi ‘Visibility’ Untuk Bakat Lain

    Dalam ekosistem seperti itu, selebriti mempunyai satu kelebihan yang tidak semua pemain industri miliki iaitu perhatian khalayak.

    Bkay percaya perhatian tersebut boleh digunakan untuk mencipta visibility kepada bakat yang mungkin belum dikenali.

    Apabila seseorang artis memakai hasil pereka tempatan, bekerjasama dengan jurugambar baharu atau memperkenalkan karya seseorang kepada pengikutnya, impaknya boleh membuka pintu kepada peluang lain.

    “Bagi saya, itu juga sebahagian daripada tanggungjawab selebriti dalam membantu membangunkan ekonomi kreatif,” katanya.

    Ia membawa kepada persoalan lebih besar mengenai kedudukan artis dalam industri hari ini.

    Selebriti mungkin menjadi individu yang berdiri paling hadapan, tetapi nilainya juga boleh terletak pada berapa ramai pemain kreatif lain yang dapat bergerak bersama mereka.

    Bila Warisan Juga Ada Nilai Ekonomi

    Dalam masa sama, Bkay mahu peluang komersial itu turut membawa bersama identiti fesyen Malaysia.

    Baginya, warisan tekstil tempatan jauh lebih luas daripada batik dan songket semata-mata, dengan tradisi seperti Limar, Pua Kumbu, Tenun Pahang, Keringkam, Linangkit dan Telepuk turut mempunyai potensi untuk diketengahkan kepada generasi baharu.

    Kerjasama REKA RONA dengan Muzium Tekstil Negara antara usaha memberi peluang kepada pereka muda memahami warisan tersebut sebelum menerokainya melalui reka bentuk dan inovasi.

    “Pemeliharaan warisan semata-mata tidak mencukupi. Kita juga perlu melihat bagaimana warisan, kemahiran pertukangan dan kreativiti ini dapat mewujudkan permintaan, menjana pendapatan serta membuka peluang ekonomi,” katanya.

    Lima karya terpilih daripada REKA RONA juga bakal dipamerkan di Muzium Tekstil Negara sehingga penghujung tahun, memberikan satu lagi bentuk pendedahan kepada peserta selepas acara berakhir.

    Dari Pentas Fesyen Kepada Ekosistem Lebih Besar

    Buat masa ini, REKA RONA belum dibentuk sebagai platform pasaran komersial sepenuhnya.

    Namun PEFEM mahu acara tersebut berkembang ke arah akses pasaran, peruncitan, e-dagang, kolaborasi dan peluang komersial pada masa akan datang.

    Bagi Bkay, formula itu bermula dengan satu pemikiran mudah. Bakat boleh dibangunkan menjadi jenama, kreativiti boleh menghasilkan nilai dan idea pula boleh berubah menjadi sebuah perniagaan.

    Dan apabila artis, pereka, institusi pendidikan, tenaga produksi serta penggiat warisan bergerak dalam ekosistem yang sama, sebuah acara fesyen tidak lagi hanya berakhir apabila lampu pentas dipadamkan. Ia berpotensi menjadi permulaan kepada peluang seterusnya.

    Untuk rekod, Anugerah Bakat Muda REKA RONA 2026 dimenangi GiatMara HQ, manakala Universiti Teknologi MARA membawa pulang Anugerah Kreativiti dan Inovasi. Kolej Vokasional Sultan Abdul Samad menerima Anugerah Warisan Terbaik, Kolej Vokasional ERT Setapak memenangi Anugerah Rekaan Kontemporari Terbaik dan GiatMara HQ turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Rekaan Keseluruhan Terbaik.

    The post Bukan Sekadar Wajah Kempen, Bkay Nair Mahu Rakan Artis Jadi Penggerak Ekonomi Fesyen first appeared on OHBULAN!.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah