
Pelakon Alya Iman akui rindu untuk beraya dengan keluarga namun harus menerima ketentuan yang ditakdirkan buatnya.
Beraya sebagai anak yatim piatu

Menjawab tentang persiapan raya, Alya atau nama sebenarnya Nur Alya Iman Azmil berkata, dia tidak membuat sebarang persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini kerana beraya seorang diri.
Menurutnya, adik beradik mempunyai keluarga sendiri selain sudah tidak serapat seperti dahulu.
Macam biasa, sebab saya dah tiada ibu bapa, adik beradik dah ada keluarga masing-masing jadi, saya beraya sorang sahaja.
Sebenarnya rindu sangat nak ada zaman raya dulu-dulu dimana kami sekeluarga balik kampung dan menziarahi saudara mara.
Selalunya pagi raya saya akan balik Ijok, pergi kubur dan lepas itu balik KL.
Alya berkata demikian ketika ditemui di Majlis Iftar Stars Powerhouse Entertainment di St. Giles Boulevard Hotel pada Jumaat.
Sedih dengar takbir raya

Berkongsi lebih lanjut, anak kepada pelakon senior, Allahyarham Azmil Mustapha ini akui sebak apabila mendengar takbir raya.
Menurutnya, dia sudah terbiasa sendiri setelah empat tahun kehilangan ibu bapa tercinta.
Saya sebenarnya sedih bila dengar takbir raya.
Kalau dengar, memang akan nangis.
Sampai satu tahap, saya memang tak nak raya. Bila tengok kawan-kawan ada keluarga, saya rasa kenapa saya tak dapat semua itu.
Mood raya itu dah tiada.
Tapi rindu lah nak rasa ada keluarga masa hari raya.
Dalam pada itu, Alya yakin bahawa ujian menjadi anak yatim piatu ini adalah kekuatan untuk dirinya terus kuat mengharungi cabaran hidup di hadapan.





