25 C
Kuala Lumpur
Friday, September 25, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Beri Peluang, Tapi Bukan Jalan Pintas! Ini Cara A. Aida Bentuk Azeva Sebagai Pelapis Dalam Industri

    Shopee Sale

    Dalam industri hiburan, peluang sering menjadi perkara paling sukar diperoleh, terutama bagi muka baharu yang masih belum mempunyai nama atau rekod panjang untuk meyakinkan orang lain.

    Bagi penerbit Datuk A. Aida, seseorang tidak mungkin berkembang jika tidak diberikan ruang untuk bermula. Namun peluang sahaja, katanya, tidak cukup jika individu itu tidak mahu terus belajar dan memahami industri yang diceburi.

    Prinsip itu kini diterapkan sendiri terhadap anaknya, Azeva, yang semakin aktif sebagai penyanyi, pelakon, pengacara dan kini penerbit menerusi syarikat produksinya sendiri, Hello Production.

    ARTIKEL BERKAITAN: Nama Besar Boleh Buka Pintu, Tapi A. Aida Mahu Azeva Buktikan Kemampuan Sendiri

    ARTIKEL BERKAITAN: A. Aida Angkat Isu ‘Haruan Makan Anak’ Dalam Filem ‘Bisikan Nafsu’ – ‘Objektif Untuk Beri Kesedaran’

    “Kalau Tak Bagi Peluang, Macam Mana Nak Lahirkan Pelapis?”

    Ketika ditemui pada majlis tayangan filem Bisikan Nafsu, A. Aida tidak menyembunyikan rasa bangga melihat perkembangan Azeva yang memegang watak utama dalam filem tersebut.

    Malah selepas menonton filem itu berkali-kali, A. Aida mengakui masih tersentuh dengan beberapa babak lakonan anaknya.

    “Kalau kita tak beri peluang kepada orang baharu, macam mana kita nak melahirkan pelapis?

    “Untuk pertama kali, pada saya dia berjaya menyampaikan watak itu. Tapi tiada siapa sempurna. Saya tetap pesan kalau betul-betul mahu menjadi pelakon, pergi kelas lakonan dan terus belajar,” katanya.

    Bagi A. Aida, proses pembelajaran tidak sepatutnya berhenti hanya kerana seseorang sudah mempunyai peluang atau mula dikenali.

    Katanya, pelakon dan penyanyi berpengalaman sendiri masih mengikuti kelas lakonan atau vokal bagi memperbaiki kemahiran masing-masing.

    View this post on Instagram

    A post shared by Dato A.Aida (@a_aidaproduction)

    “Kalau nak berjaya, ilmu itu kena terus digali. Kerjaya tak boleh berhenti setakat kita rasa kita dah tahu semuanya.”

    Sokong Anak, Tapi Mahu Dia Tahu A Sampai Z

    A. Aida juga terbuka mengakui sokongan yang diberikan kepada Azeva hadir daripada kedudukannya sebagai seorang ibu.

    Selepas melalui fasa kesihatan yang mencabar dan kembali meneruskan kerjaya seni, Azeva menyatakan kesediaannya untuk menyanyi dan berlakon. Dari situ, A. Aida mula membina ruang untuk anaknya mencuba lebih banyak cabang industri.

    Selain menulis skrip yang menampilkan Azeva sebagai heroin, A. Aida turut menghasilkan lagu runut bunyi dan membuka ruang kepada anaknya untuk menerajui syarikat produksi sendiri.

    Namun baginya, menjadi penerbit bukan sekadar mempunyai syarikat atau nama pada kredit sesebuah karya.

    “Saya selalu cakap, kalau nak jadi producer, kita kena belajar daripada A sampai Z.

    “Saya sendiri bermula sebagai pelakon, kemudian mengarah, menulis skrip dan selepas itu baru menjadi penerbit. Bila kita tahu keseluruhan proses, susah orang nak ambil kesempatan atau tipu kita dalam produksi,” jelasnya.

    Azeva sebelum ini turut bekerja di A. Aida Production dalam bahagian kewangan dan sering turun ke lokasi penggambaran, sesuatu yang menurut A. Aida memberinya pendedahan awal terhadap perjalanan sesebuah produksi.

    Hello Production kemudian diwujudkan sebagai ruang untuk Azeva belajar mengurus sendiri sesebuah projek dan memahami realiti menjadi penerbit.

    Nama Ibu Boleh Buka Pintu, Tapi Bakat Tetap Kena Ada

    Tidak dapat dinafikan, apabila seorang anak memasuki industri yang sudah lama diterajui ibu atau bapanya, persoalan mengenai kelebihan dan peluang pasti timbul.

    MENARIK:  Isteri Pertama Abang Tesla Bagi Tip Ringkas Poligami – ‘Anggap Madu Tak Wujud’

    A. Aida sendiri pernah berdepan persoalan sama apabila ada yang mempertikaikan mengapa begitu banyak pelaburan dan peluang diberikan kepada Azeva.

    Namun penerbit itu menegaskan, sokongan tersebut bukan semata-mata kerana hubungan keluarga.

    Menurutnya, dia sendiri tidak akan melaburkan wang terhadap sesuatu yang dirasakan tidak mempunyai potensi.

    “Saya buat untuk dia sebab saya nampak kebolehan dan bakat yang ada. Kalau saya rasa seseorang itu tak boleh menyanyi atau berlakon, saya sendiri tak akan paksa.

    “Sebagai orang berniaga, kita melabur pada sesuatu yang kita nampak ada potensi untuk berkembang,” katanya.

    Malah A. Aida masih melihat banyak ruang yang perlu diperbaiki oleh anaknya, khususnya dari segi lakonan.

    Walaupun berpuas hati dengan kemampuan Azeva menyampaikan emosi dalam filem pertamanya, dia mengakui aspek seperti intonasi masih perlu diasah.

    Dalam erti kata lain, sokongan seorang ibu mungkin membuka pintu pertama, tetapi kemampuan untuk terus berada di dalam industri tetap memerlukan usaha daripada Azeva sendiri.

    Dari Pelakon Kepada Penerbit Muda

    Perjalanan Azeva juga tidak lagi terhad kepada satu cabang seni.

    Selain menyanyi dan berlakon, A. Aida mengakui dia sendiri terkejut apabila anaknya turut menunjukkan kebolehan sebagai pengacara selepas diberikan peluang oleh sebuah stesen televisyen.

    Kini, menerusi Hello Production, Azeva mula memasuki satu lagi sisi industri yang jauh lebih besar tanggungjawabnya.

    “Bila dia dah bersedia untuk berada dalam industri, saya buka production untuk dia. Biar dia belajar dan tengok sendiri sama ada dia boleh mengendalikan benda itu atau tidak.

    “Sekurang-kurangnya dia akan faham bagaimana sesebuah produksi bergerak,” katanya.

    Bagi A. Aida, pengalaman itulah yang akhirnya akan menentukan sejauh mana Azeva mampu berdiri menggunakan namanya sendiri.

    Dan mungkin di situlah pendekatannya sebagai seorang ibu dan penerbit bertemu. Bukan sekadar mahu memberi peluang, tetapi mahu peluang itu menjadi proses pembelajaran yang sebenar.

    Bisikan Nafsu Jadi Ujian Pertama

    Sebahagian daripada proses itu kini diterjemahkan menerusi Bisikan Nafsu, projek sulung terbitan Hello Production dengan kerjasama A. Aida Production dan Mache Allstar United.

    Filem arahan Riza Baharudin itu turut ditulis oleh A. Aida dan mengangkat kisah Nadia, seorang wanita yang berdepan trauma selepas menjadi mangsa jenayah seksual dalam keluarga sebelum kehidupannya berubah akibat tragedi tersebut.

    Pada masa sama, naskhah itu turut membawa tema kasih sayang, trauma, kesetiaan dan pengorbanan menerusi hubungan Nadia dengan insan di sekelilingnya.

    Selain Azeva dan Aniq Suhair sebagai teraju utama, Bisikan Nafsu turut dibintangi Zul Huzaimy, Aleza Shadan, Watie Sadali, Raja Azmi, Ezzaty Abdullah, Aishah Husna dan Lan Siro serta penampilan istimewa Ameng Spring dan Siti Khadijah Halim.

    Buat A. Aida, filem ini mungkin satu lagi karya dalam perjalanan panjangnya sebagai penerbit.

    Tetapi buat Azeva, Bisikan Nafsu menjadi antara langkah awal untuk membuktikan bahawa peluang yang diberikan kepadanya bukan sekadar sesuatu untuk dinikmati, tetapi sesuatu yang perlu dipikul dengan tanggungjawab.

    Bisikan Nafsu bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 1 Oktober 2026.

    The post Beri Peluang, Tapi Bukan Jalan Pintas! Ini Cara A. Aida Bentuk Azeva Sebagai Pelapis Dalam Industri first appeared on OHBULAN!.



    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah