Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata tidak timbul masalah bagi parti itu meletakkan calon bukan Melayu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurutnya pengundian calon sudah diputuskan yang menyaksikan Sharon Teo merupakan calon bukan Islam pertama akan diletakkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH).
"Tiada masalah (letak calon), kita selesai semua. Insya-Allah," katanya seperti dilapor Berita Harian.
Mohamad berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendirian Amanah Pasir Gudang yang mahu memboikot calon berkenaan.
Terdahulu, Amanah Pasir Gudang mengadakan sidang media mengumumkan keputusan mereka untuk memboikot calon PH di kerusi itu yang disifatkan mereka sebagai calon 'payung terjun'.
Penolong setiausaha bahagian itu, Haini Harun, berkata keputusan tersebut dibuat bersama kepimpinan Amanah kawasan, selain menyatakan pendirian menyokong Ketua Amanah Kawasan Pasir Gudang, Syed Othman Abdullah untuk bertanding di kawasan berkenaan.
"Keputusan menamakan calon luar sudah kami dengar sejak Mei lalu dan surat bantahan sudah serahkan kepada kepimpinan negeri dan Pusat, namun tidak maklum balas yang kami terima.
"Bagaimanapun, kepimpinan parti tetap memilih calon payung terjun ini yang bukan sahaja tidak dikenali oleh jentera Amanah di kawasan ini, malah juga pengundi di sini," katanya pada sidang media di Taman Cendana, Pasir Gudang, hari ini
"Justeru itu, jentera Amanah Kawasan Pasir Gudang tidak akan membantu calon ini tetapi tidak menghalang jentera calon itu untuk berkempen,” katanya.

Amanah Johor sebelum ini mengumumkan Sharon sebagai calon bagi Permas, menjadikannya satu-satunya calon bukan Melayu dan bukan Islam parti itu dalam pilihan raya negeri tersebut.
Sharon, yang sebelum ini berkhidmat sebagai penolong setiausaha Amanah Johor dan ketua Warda Johor (sayap wanita Amanah), berkata pencalonannya membawa mesej bahawa Amanah adalah sebuah parti berbilang kaum.
“Amanah adalah parti pelbagai kaum untuk semua. Kita bawa satu konsep iaitu ‘rahmatan lil alamin’ (rahmat untuk seluruh alam),” kata Sharon, yang mengakui pernah menerima bimbingan bekas timbalan presiden Amanah, Salahuddin Ayub.
Pada pilihan raya lalu, calon BN, Baharudin Taib memenangi kerusi Permas dalam saingan sengit, dengan memperoleh 23,492 undi.





