
Penyanyi, Siti Nordiana menyangkal dakwaan mengatakan dia sudah menamatkan zaman ibu tunggal sekali gus menafikan gosip yang tular, baru-baru ini.
Nafi dah kahwin

Mengakui terkejut selepas membaca gosip tersebut, Siti Nordiana atau mesra disapa Nana, 41, berkata, dia tidak tahu menahu bagaimana dakwaan itu boleh timbul.
Sejujurnya saya terkejut dan pernah terbaca artikel tentang perkara itu. Saya pun tak tahu menahu daripada mana cerita ini datang. Berita itu tidak sahih.
Apa-apa pun, saya berterima kasih kepada mereka yang mendoakan baik-baik untuk jodoh saya. Kita serahkan saja (soal jodoh) kepada Allah SWT.
Hati saya tidak pernah tertutup untuk kembali mendirikan rumah tangga, insya-Allah. Kalau jodoh saya datang ketika usia saya sudah 50 tahun sekali pun, saya terima.
Mungkin juga sudah terlalu lama solo, jadi sentiasa menjadi sasaran untuk digosipkan. Ada juga kenalan yang gurau dan tanya ‘bila nak bagitahu sudah kahwin?’.
Nana berkata demikian ketika ditemui di sidang media dan tayangan perdana Astro Raya 2025 yang berlangsung di sebuah hotel di Bandar Utama, pada Rabu.
Tidak terasa hati

Tidak mengambil hati dengan usikan diberikan, juara Gegar Vaganza 2 itu berkata, fokusnya kini bukan ke arah perkahwinan meskipun usia sudah mencecah angka empat.
Soalan sedemikian sudah lama saya terima, ramai yang tanya mengenai perkahwinan. Saya tidaklah rasa itu sebagai satu soalan yang sensitif.
Cuma terlalu banyak dakwaan mengatakan saya sudah berkahwin. Itulah yang saya tak faham. Apa yang boleh saya katakan, setakat ini ia tidak benar.
Sebab fokus saya sekarang hanya pada anak dan dalam usia 40-an ini, saya sedang usaha untuk perbaiki diri menjadi insan yang lebih baik.
Insya-Allah saya bahagia saja menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal sebab saya sudah terbiasa dengan rutin hidup begini. Bertahun-tahun bawa gelaran ibu tunggal.
Tambah pelantun lagu Terus Mencintaimu itu lagi, anak tunggalnya, Muhammad Rayyan Nakhaie, 17, juga tidak pernah bertanya mengenai ‘bapa baru’.
Sekadar info, Nana pernah bertemu jodoh bersama pelakon, Allahyarham Faizal Yusof pada April 2006 dan dikurniakan seorang cahaya mata, namun mereka perpisah pada 2009.
Dalam perkembangan lain, Nana baru sahaja melancarkan lagu raya solo pertamanya berjudul Hari Lebaran.
Lagu itu merupakan ciptaan Nana sendiri bersama Dian Rasid dan sudah menerima lebih 100,000 tontonan di YouTube selepas seminggu dimuat naik.





