
Tahun pertama menyambut Aidilfitri tanpa sosok seorang bapa, pelakon, Sharnaaz Ahmad memberitahu sambutan hari raya tahun ini disambut sederhana dan sekadar memenuhi syarat.
Raya cukup syarat

Meskipun sudah reda dengan pemergian arwah bapa, Datuk Basir Ahmad sejak November lalu, Sharnaaz, 39, bagaimanapun mengakui berat untuk memikul rasa rindu yang terus menyelebungi diri.
Di fasa usia saya yang sekarang, perkara itu (kehilangan ibu bapa) banyak terjadi. Perlu berdamai dengan takdir dan reda.
Walaupun tahun ini tahun pertama beraya tanpa ayah dan itu amat berat untuk diterima, tetapi saya akan cuba.
Mak saya pun masih dalam iddah pada Syawal ini, jadi mak hanya duduk di rumah sahaja.
Raya tahun ini sambut cukup sekadar syarat sahaja, pergi solat raya kemudian ziarah kubur arwah papa dan balik terus ke rumah.
Rutin dengan arwah

Dalam pada itu, Sharnaaz berkata dia tidak akan melupakan rutin pagi 1 Syawal yang wajib dilakukan bersama arwah bapa.
Saya akan ingat momen pergi sembahyang raya setiap tahun dengan ayah. Saya akan berjalan kaki dengan dia menuju ke masjid. Kemudian rutin kami tengah hari akan pergi beraya rumah saudara mara.
Tambah pelakon filem Blood Brothers itu lagi, dia juga akan segera pulang ke Kuala Lumpur pada hari raya pertama selepas usai melakukan beberapa perihal di kampung halaman di Penang.
Tahun ini saya tak nak duduk Penang lama-lama, terlalu banyak kenangan dengan arwah papa di sana. Saya balik ke KL pada hari raya pertama, petang itu penerbangan saya ke KL.





