Penyanyi dan pelakon, Ayda Jebat kini melebarkan sayap dalam bidang penerbitan apabila mengambil langkah menghasilkan drama dan telefilem untuk siaran televisyen menerusi syarikat miliknya bersama suami, Nabil Mahir.
Artikel Berkaitan: Ayda Jebat Beri Penjelasan, Anak Lelaki Disangka Budak Perempuan Kerana Miliki Kulit Cerah – ‘Nama Dia Aali Mateen..’
Artikel Berkaitan: Ayda Jebat Bawa Anak Keluar Beraya Hanya Selepas Cecah Usia Setahun – ‘Sebenarnya Bukan Dari Segi Kesihatan Saja..’
Ayda Jebat masuk bidang penerbitan drama

Selepas lima tahun aktif menerbitkan video muzik, iklan serta kandungan komersial, Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat, berkata mereka kini bersedia menyahut cabaran baharu dalam industri penerbitan drama.
Menurut Ayda, AJNM Entertainment yang dibangunkan bersama Nabil mula mengembangkan operasi ke arah penerbitan kandungan televisyen selepas melihat potensi untuk meneroka bidang tersebut dengan lebih serius.
Selama ini kami lebih banyak menghasilkan video muzik, iklan dan jingle untuk pelbagai jenama terkenal. Namun, kali ini kami mahu mencuba sesuatu yang berbeza dengan meneroka penerbitan untuk televisyen.
Alhamdulillah, projek pertama kami sudah pun ditayangkan menerusi RTM. Insya-Allah, bulan depan kami akan memulakan penggambaran sebuah drama dan sebuah lagi telefilem.
Ayda berkata demikian selepas perasmian cawangan baharu jenama tempatan, Bayu Somerset di AEON Bandaraya Melaka, baru-baru ini.
Bagi drama terbaharu terbitan syarikat itu, penggambaran dijadualkan berlangsung bulan depan dengan membariskan beberapa pelakon termasuk model dan pelakon, Amber Chia.
Jadikan Sheila Rusly sumber inspirasi

Dalam pada itu, Ayda, 34, tidak berselindung mengagumi kemampuan penerbit dan pelakon berpengalaman, Sheila Rusly yang banyak memberi inspirasi kepadanya untuk memahami selok-belok dunia penerbitan.
Malah, peluang melihat sendiri cara Sheila mengendalikan produksi sebelum ini membuka ruang buat Ayda mempelajari pelbagai aspek penting termasuk pengurusan kewangan, pemilihan skrip dan pembangunan jalan cerita.
Saya banyak memerhati cara beliau mengendalikan produksi, khususnya dalam aspek pengurusan kewangan, penelitian skrip dan pemilihan jalan cerita.
Saya sangat mengaguminya. Saya suka semua cerita yang dihasilkan Sheila serta suaminya, Jinggo kerana jalan cerita berkualiti selain ketelitian dalam menguruskan bajet.
Dulu beliau selalu telefon saya suruh datang rumah. Ketika itulah saya dapat melihat sendiri caranya meneliti dan mengkaji skrip. Secara tidak langsung, banyak perkara saya belajar daripadanya.
Bercerita mengenai pembahagian tanggungjawab dalam syarikat, Ayda menjelaskan suaminya, Nabil bertindak sebagai pengarah, manakala dia lebih banyak menguruskan perkara berkaitan operasi dan kerja di belakang tabir.
Walaupun mempunyai impian untuk mengarahkan karya sendiri suatu hari nanti, pelakon drama Mandul Bukan Pilihan itu memilih untuk memperkukuh pengetahuan terlebih dahulu sebelum mengambil tanggungjawab berkenaan.
Saya rasa perlu menimba ilmu terlebih dahulu. Bukan tidak boleh buat, tetapi saya mahu belajar daripada orang yang lebih berpengalaman, termasuk mereka yang rapat dengan saya.
Kami tidak mahu terus terjun tanpa persediaan kerana banyak perkara perlu difahami. Saya mahu tahu bagaimana menguruskan produksi dengan betul sebelum melangkah lebih jauh.
Selain berkongsi perkembangan kerjaya, Ayda turut menyatakan kekagumannya terhadap jenama fesyen tempatan, Bayu Somerset yang disifatkan berjaya berkembang pesat tanpa mengabaikan kualiti produk.
Mengakui sudah lama menjadi pelanggan jenama berkenaan, Ayda berkata koleksi pakaian Bayu Somerset sering menjadi pilihannya untuk pelbagai urusan termasuk mesyuarat, acara rasmi dan kemunculan di televisyen.
Saya memang suka cara mereka berkembang dengan cepat tetapi kualiti tetap terjaga. Saya sendiri sudah lama memakai pakaian Bayu Somerset, malah hampir setiap Jumaat atau ketika ada urusan rasmi, saya memilih koleksi ini.
Tahniah kepada pemiliknya yang turut menyuntik inspirasi kepada saya selalu pengusaha bisnes. Harap mereka terus maju dan menghasilkan lebih banyak koleksi termasuk pakaian bayi seperti koleksi romper daripada fabrik kapas.
The post Ayda Jebat Jadikan Sheila Rusly Inspirasi Terbit Drama, Banyak Belajar Soal Skrip & Pengurusan Produksi first appeared on OHBULAN!.





