Program sukan santai WHAM Pickleball With The Stars anjuran Persatuan Wartawan & Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) berjaya menghimpunkan pengamal media dan selebriti tempatan dalam satu kejohanan yang berlangsung di Pickle X i-City, Shah Alam, pada Jumaat.
Artikel Berkaitan: WHAM Anjur Malam Penghargaan Memori Suara Pyanhabib.. Sentuh Hati, Penuh Nostalgia & Jiwa Seni
Artikel Berkaitan: WHAM, FINAS Anjur Intuisi Evolusi Emas Festival Filem Malaysia Ke-33
Juara

Seramai 50 peserta terdiri daripada 25 selebriti dan 25 ahli WHAM mengambil bahagian dalam acara yang bermula sekitar jam 8 malam itu, dengan perlawanan berlangsung dalam suasana kompetitif meskipun berkonsepkan santai.
Pasangan pelakon Ezaidi Aziz dan wartawan mStar, Nazrin Zulkafli, muncul juara selepas mempamerkan permainan konsisten sepanjang kejohanan, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000.
Tempat kedua dimenangi pempengaruh Faiz Dickie yang bergandingan dengan wartawan mStar, Farol Hadi dan menerima hadiah RM3,000.
Manakala kedudukan ketiga menjadi milik penyanyi Haqiem Rusli bersama Faiq Fahmi Adenan (Melodi) yang membawa pulang RM2,000.
Bagi tempat keempat, pasangan Izzul Faiq dan Muhammad Izzad Farhan Amier Zaini (Melodi) menerima hadiah wang tunai RM1,000.
Selain itu, anugerah Pairing Paling Sporting diberikan kepada pelakon Trisha Ooi dan Wan Asrudi Wan Hasan dari Harian Metro yang masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM500 tajaan Sevoce Studio.
Ramai artis hadir

Sebelum kejohanan bermula, para peserta menyertai aktiviti zumba sebagai sesi pemanas badan yang ditaja oleh Antava Projects bagi mengeratkan lagi hubungan.
Antara selebriti yang hadir memeriahkan acara ialah Aeril Zafrel, Bella Astillah, Zahiril Adzim, Sheira Ayob, Yasmin Hani dan Ayie Floor 88. Turut serta ialah Sarah Suhairi, Zizi Kirana, Adam Lee, Afieq Shazwan, Wani Kayrie dan El Azman yang kebanyakannya pertama kali mencuba sukan itu.
Acara tersebut turut diserikan dengan sesi cabutan bertuah melibatkan semua peserta dan ahli WHAM. Hadiah utama berupa sebuah telefon pintar dimenangi oleh Ayie Floor 88 manakala Haqiem Rusli menerima sebuah televisyen bersaiz 65 inci.
Sambutan meriah

Program ini turut mendapat sokongan pelbagai penaja antaranya Wawa Global, D’Herbs Terlajak Laris, Elrah Exclusive, Kanda, SN Legacy, ASICS, Kunafa Aiwahhh dan Pickle X sebagai penaja lokasi. Sokongan tambahan turut diterima daripada Glad2Glow, Mak Jenny, Mega Film Distribution, Plan E Solutions, SAC Garment, Roslan Shah, Nun Ha, Alyah Beauty, Mask Team, IIAN, AK Events dan Love Music Fest.
Turut hadir bersama ialah Setiausaha WHAM, Sudirman Mohd Tahir.
Program sukan santai penganjuran WHAM Pickleball With The Stars pada kali ini dilihat sebagai inisiatif berkesan dalam mengeratkan hubungan antara pengamal media dan selebriti menerusi aktiviti sihat.
The post Selebriti, Wartawan Bergabung Dalam Kejohanan Pickleball WHAM, Rebut Ganjaran RM4,000! first appeared on OHBULAN!.





