Penyanyi, Ariff Bahran masih menunggu perkembangan kes penipuan membabitkan kerugian ratusan ribu ringgit yang dihadapinya, selepas didakwa diperdaya individu yang menyamar sebagai penganjur konsert.
Artikel Berkaitan: Ariff Bahran Selar Kenyataan Isa Khan ‘Solat Tarawih Tak Diterima Kalau Tinggal 5 Waktu’ – ‘Mungkin Cara Ke Arah Kebaikan’
Kes scammer

Ariff, 28, berkata, sehingga kini tiada sebarang perkembangan positif diterima, malah individu terbabit terus berdiam diri meskipun pelbagai usaha telah dilakukan untuk mendapatkan semula wang berkenaan.
Sehingga hari ini, individu terbabit masih berdiam diri. Dia ada menghantar mesej kononnya akan membuat pindahan wang keesokan hari, namun ditangguhkan berulang kali tanpa sebarang hasil.
Saya juga sudah mendedahkan wajahnya di platform Threads. Orang ramai sudah mengetahui nama syarikat yang menipu saya.
Mereka masih bebas di luar sana. Sama ada mereka mempunyai wang atau tidak, saya hanya mahukan hak saya dikembalikan. Saya berharap tindakan tegas dapat diambil supaya dia tidak terus berleluasa menipu orang lain.
Jumlah RM425,000 bukan kecil. Saya memerlukan wang itu untuk perniagaan lain. Kami sudah menunggu sejak bulan Ramadan hingga ke Hari Raya, namun masih tiada bayaran atau maklum balas.
Ariff berkata demikian ketika ditemui pada majlis rumah terbuka anjuran Rusa Music yang berlangsung di ibu kota, pada Isnin.
Tambah penyanyi lagu Juara Dusta itu, jumlah kerugian sekitar RM425,000 bukan sahaja memberi tekanan emosi, malah menjejaskan perancangan perniagaannya yang lain.
Dalam pada itu, Ariff turut meluahkan rasa terkilan apabila usahanya untuk menceburi bidang penganjuran konsert dipertikaikan segelintir pihak, terutama dalam kalangan pemain industri yang lebih berpengalaman.
Semua orang bermula dari bawah. Ada masa kita ditipu, jatuh dan bangun semula. Bagi saya, itu perkara biasa apabila pemain besar memperlekehkan kami yang baru bertatih.
Namun, tidak perlulah merendah-rendahkan orang lain semata-mata untuk menghalang mereka daripada meneruskan perniagaan.
Janganlah berkata, ‘Oh, Sheila On 7 wajib melalui saya.’ Kenapa pula? Jika saya mampu mendapatkan kumpulan itu, apa salahnya? Jangan perlekehkan.
Mengulas lanjut, Ariff mengakui insiden penipuan tersebut meninggalkan trauma untuk dia kembali aktif dalam bidang penganjuran konsert, namun tetap berazam untuk bangkit dengan lebih berhati-hati.
Saya perlu selesaikan kes ini terlebih dahulu. Saya juga sudah belajar daripada kesilapan. Jika saya menganjurkan konsert lagi selepas ini, perancangannya akan dibuat sepuluh kali lebih teliti.
Saya berharap pihak berkuasa bertindak segera. RM425,000 itu bukan jumlah sikit, malah boleh dijadikan deposit membeli rumah banglo.
Terdahulu, Ariff mendedahkan dia mengalami kerugian hampir setengah juta ringgit selepas dipercayai ditipu oleh pihak penganjur yang berjanji membawa masuk kumpulan popular Indonesia, Sheila On 7, untuk mengadakan konsert di Malaysia.
The post ‘RM425,000 Bukan Sikit, Boleh Jadi Deposit Rumah Banglo’ – Ariff Bahran first appeared on OHBULAN!.





