ULASAN | Suatu masa dulu, BN menggunakan slogan 'BN menang, rakyat senang' dalam kempen pilihan raya dalam usaha mereka menarik sokongan sebanyak mungkin pengundi.
Ia menjadi frasa yang senang melekat di minda rakyat biar pun dipandang sinis pihak lawan. Di negeri-negeri Pantai Timur khususnya, ungkapan itu dibalas dengan sindiran ‘BN = Barang Naik’ yang dimainkan oleh pembangkang ketika itu.
Selepas kejatuhan BN pada 2018, slogan berkenaan mula sepi dan tidak diendahkan sangat.
Memasuki jam-jam terakhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, setiap detik yang tiba menjadi garis masa penting kepada setiap calon mengukur sejauh mana kempen yang sudah dijalankan, keberkesanan strategi, dan sambutan pengundi.
Ini masa untuk semua pihak bermuhasabah.
Setinggi-tinggi tawakal dan pengharapan kepada tuhan sajalah diserahkan bagi menentukan nasib mereka selepas dua minggu giat berkempen.
Mana-mana parti atau calon yang terlibat, tentu sudah dapat menghidu sedikit sebanyak peluang yang ada.
Tidak ada kedudukan seri dalam perlumbaan meraih kuasa ini, walau dalam keadaan tanda pangkah belum bersilang pada kertas undi sekali pun.
Pamer sikap amat realistik
Pun begitu setakat ini PAS nampaknya parti paling tenang. Tidak ada gegak-gempita yang berlebih. Tetapi itu mungkin kerana tempo kempen PAS mengambil kira penyertaan mereka di 11 kerusi sahaja.
PAS dengan kekuatan ahli di seluruh negara sebenarnya boleh saja mereka mengerah keringat semaksimum mungkin di 11 kerusi yang ditandingi. Tetapi PAS dilihat tidaklah berbuat demikian. Sebaliknya PAS cukup bersederhana.
Mungkin kerana dari awal lagi parti itu tidak meletakkan sasaran untuk merangkul kuasa – seperti yang selalu mereka lakukan dalam setiap pilihan raya. Di Johor PAS sangat sederhana niatnya.
Mereka memilih untuk menjadi pembangkang. Atau mereka mahu jadi “penampung” kepada kekurangan – jika ada – pada Umno dan BN. Bahkan PAS juga cukup realistik kerana janji itu diikrarkan dengan satu syarat. Kalau PAS mampu menang.

Walaupun bertanding atas tiket PN, keberadaan PAS dalam pesta demokrasi di Johor kali ini memberi isyarat jelas dan signifikan betapa mereka akan senang dengan keputusan bersifat status quo, yakni mengekalkan BN menerajui negeri Darul Ta’zim.
Jika BN menang, PAS senang dan tenang.
Ketika seruan pimpinan PAS supaya penyokongnya mengundi calon BN di kerusi-kerusi tidak ditandingi mereka, suara-suara penafian bahawa berlakunya pakatan antara PAS dan Umno terus berkumandang.
Mungkin pakatan itu bersifat ‘mahu tapi malu’, namun tidak mustahil situasi semasa akan memberi natijah yang menguntungkan kedua-dua pihak.
Demi Melayu dan Islam
Namun perkembangan sehari dua ini seolah-olah tidak memihak kepada PAS pula. Di sebalik ghairah PAS mahu menabur jasa kepada Umno-BN, parti yang pernah mereka lawan selama berpuluh tahun itu membalas dengan sikap dingin.
Keadaan itu meletakkan PAS seolah-olah sedang tersorong-sorong menawarkan hidungnya yang tidak mancung.
Pun begitu diyakini PAS tidak akan goyah. Sekali PAS beristiqamah, selamanya PAS istiqamah. PAS memang terkenal mampu membuktikan kesungguhan mereka dalam politik sebaik saja keputusan dibuat.
Semuanya demi Melayu dan Islam – slogan yang pernah dijaja Umno suatu ketika dulu dan ironinya ditentang PAS.
Sudah tentu juga PAS tidak rugi apa-apa dengan apa jua keputusan akhir yang terbit dari peti undi esok. Kecualilah jika BN tumbang, mesti PAS akan turut terasa pedihnya. Pengundi yang mencubit paha Umno adalah sakit yang ditanggung oleh paha PAS jua.

Pada masa sama firma kaji selidik dan penganalisis pula yakin majorti pengundi esok akan memihak kepada BN walaupun blok lawan menjaja kempen kononnya “undi BN dalam PAS.”
BN layak untuk berkeyakinan tinggi dengan kelebihan mereka sebagai kerajaan penyandang.
Di pihak PH pula, walaupun sentimen semasa tidak memberi kelebihan pada mereka, segalanya mungkin. Kejutan saat-saat akhir boleh saja terjadi.
Melihat komitmen Anwar Ibrahim selaku Pengerusi PH yang dilihat kerap turun padang kali ini, sudah tentu ia mampu memberi kesan tersendiri.

PH juga kelihatan sangat bergantung kepada peratusan keluar mengundi yang tinggi khususnya dalam kalangan pengundi bukan Melayu yang memang menjadi deposit tetap PH.
Akhir kalam sebagai penutup kata, sama-sama kita hayati sekali lagi pantun yang dipopularkan Abdul Hadi:
Ikan siakap dalam baldi,
Makan bersama burung punai;
Jangan silap pangkah undi,
Janji manis tidak ditunai.
Tanjung Piai pergi ke Dumai,
Sampai di sana naik kereta;
Keluar mengundi beramai-ramai,
Undi MCA kawan kita.
Wallahua’lam.
N FAIZAL GHAZALI ialah wartawan Malaysiakini yang berharap PAS menerajui semua negeri di Malaysia suatu hari nanti.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.





