Setiap orang pasti pernah melalui fasa uijan sukar dalam kehidupan, namun cara seseorang melihat dan menghadapinya boleh menjadi penentu sama ada pengalaman itu dianggap sebagai satu kejatuhan atau ruang untuk bangkit menjadi lebih baik.
Bagi pelakon dan usahawan, Datin Fouziah Gous, dugaan yang hadir tidak semestinya perlu dilabel sebagai ‘titik terendah’ kerana setiap ujian boleh membawa seseorang kepada perjalanan yang lebih bermakna, termasuk dalam memperkukuhkan hubungan dengan Allah SWT.
Artikel Berkaitan: POV XTRA: Pelakon Wanita Ada ‘Expiry Date’? Fouziah Gous Respons – ‘Kalau Masih Relevan, Jangan Kata Dah Tak Laku’
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Fouziah Gous Respon Dakwaan Gedik, Terkejut Dituduh Gatal – ‘Saya Manusia Yang Lambat Cakap Dengan Lelaki’
Lihat Ujian Dalam Sudut Positif
POV XTRA membawakan pandangan selebriti mengenai pelbagai isu, daripada topik yang hangat diperdebatkan hinggalah persoalan harian yang sering bermain dalam fikiran ramai. Tiada jawapan mutlak, tetapi setiap perspektif membuka ruang untuk sesuatu perkara dilihat dari sudut berbeza.
Menerusi segmen POV XTRA kali ini, Fouziah berkongsi pandangannya mengenai bagaimana seseorang melihat fasa sukar atau ‘titik terendah’ dalam kehidupan.
Bagi Fouziah, setiap perkara yang berlaku dalam hidup, sama ada baik mahupun buruk, tidak pernah dianggap sebagai titik terendah kerana dia memilih untuk melihat setiap dugaan daripada sudut yang lebih positif.
Mungkin sebab saya bukan orang yang berfikiran negatif. Selama saya hidup, segala baik buruk yang berlaku, saya tak pernah menyifatkan perkara tersebut sebagai titik terendah. Alhamdulillah, saya tiada isu itu.
Menurutnya, perkara yang menggembirakan sememangnya akan membawa kebahagiaan, namun ujian pula boleh menjadi ruang untuk seseorang memperbaiki diri dan mendekatkan hubungan dengan Allah SWT.
Bila cerita benda yang baik, sudah semestinya kita bahagia. Bila ada dugaan, bagi saya itu adalah satu ujian untuk mempertingkatkan lagi diri kita dan lebih dekat kepada Allah SWT.
Cara Berfikir Tentukan Bagaimana Kita Melihat Ujian
Dalam masa sama, Fouziah percaya cara seseorang menetapkan pemikiran terhadap sesuatu perkara turut memainkan peranan besar dalam menentukan bagaimana mereka melalui cabaran tersebut.
Katanya, apabila sesuatu kejadian sudah dianggap negatif sejak awal, seseorang mungkin lebih mudah melihat keseluruhan pengalaman itu menerusi sudut yang sama.
Kalau dah set dalam pemikiran kita perkara yang berlaku itu negatif, maka jadilah ia.
Malah, aktres itu turut berkongsi perbualannya bersama seorang rakan ketika dalam perjalanan sebelum ditemui XTRA.
Baginya, antara perkara yang boleh disyukuri ketika diuji adalah apabila kesukaran tersebut secara tidak langsung mendorong seseorang untuk lebih banyak berdoa, berzikir dan kembali mengingati Tuhan.
Saya baru sahaja bercakap dengan kawan saya ketika dalam perjalanan tadi. Saya kata, ‘Nasib baik bila Allah menguji kita, kita terus mempertingkatkan amalan, contohnya dengan berzikir dan berdoa lebih panjang.
Bayangkan macam mana kalau Allah uji kita, tapi kita jauh daripada-Nya? Kita tinggalkan semua, terus hanyut dengan negativiti. Itu baru titik terendah sebab Allah dah tak sayang kita.’
View this post on Instagram
‘Saya Tak Rasa Itu Titik Terendah’
Justeru, selagi setiap dugaan masih hadir bersama jalan keluar dan ruang untuk memperbaiki diri, Fouziah memilih untuk tidak melihatnya sebagai fasa paling rendah dalam kehidupan.
Sebaliknya, segala kesukaran yang dilalui dianggap sebagai sebahagian daripada perjalanan hidup yang mempunyai hikmah tersendiri.
Bagi saya, apa sahaja dugaan tetapi Allah beri penyelesaian, saya tak rasa itu titik terendah. Itu adalah satu perjalanan yang indah untuk kita menikmati segalanya dengan izin Allah.
Pandangan Fouziah memperlihatkan bagaimana definisi ‘titik terendah’ boleh berbeza bagi setiap individu.
Ada yang melihatnya sebagai saat paling sukar untuk dilalui, manakala bagi Fouziah, ujian kehidupan menjadi ruang untuk kembali memperkuatkan diri, memperbaiki perspektif dan mendekatkan diri kepada Tuhan.
The post POV XTRA: ‘Saya Tak Pernah Anggap Dugaan Itu Titik Terendah’ – Fouziah Gous Pilih Lihat Ujian Sebagai Jalan Dekat Dengan Allah first appeared on OHBULAN!.





