Penyanyi, Pija Yasin menasihati golongan ibu tunggal supaya berusaha mencari peluang dan membina kehidupan sendiri demi masa depan anak-anak.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Erynne Erynna Nikmati Fasa Sebagai Ibu Tunggal, Mahu Jadi Contoh Terbaik Buat Anak – ‘Tak Mudah Tapi Alhamdulillah’
Artikel Berkaitan: Jaa Suzuran Pertahan Ibu Tunggal & Janda – ‘Mereka Manusia, Berhak Bahagia’
Ibu tunggal kuat

Menurut Pija, 38, kaum wanita perlu mempunyai kekuatan untuk berdikari dan tidak terlalu melayan perasaan ketika berdepan kesukaran hidup selepas berpisah.
Bagaimanapun, dia tidak menafikan setiap wanita pasti melalui fasa kecewa, lemah dan hilang semangat, namun tanggungjawab membesarkan anak-anak menjadi pendorong untuk terus kuat.
Memang wanita zaman sekarang perlu bijak. Kita tak boleh terlalu cengeng atau melayan perasaan sehingga menjadi terlalu melankolik.
Mungkin ada fasa saya kecewa, ada masa lemah dan ada ketika saya rasa sudah tidak mampu meneruskan semuanya.
Tetapi apabila mengenangkan anak-anak yang perlu saya fikirkan masa depan mereka, itulah yang memberikan saya kekuatan.
Pija berkata, dia sendiri sentiasa berusaha mencari peluang pekerjaan dan melakukan apa sahaja perkara yang dirasakan mampu memberikan pendapatan.
Apabila saya rasa sudah lama tidak melakukan apa-apa, saya akan fikir untuk buat sesuatu. Apabila rasa duit semakin berkurangan, saya akan fikir apa yang boleh dilakukan untuk mencari pendapatan.
Alhamdulillah, sentiasa ada rezeki. Saya tidak pernah sampai ke tahap tidak mampu makan atau tidak boleh membeli barang keperluan. Setakat ini, rezeki sentiasa mencukupi.
Jangan rasa rendah diri

Dalam masa sama, bekas peserta Mentor Legend musim pertama itu berharap golongan ibu tunggal tidak berasa rendah diri atau menganggap kekurangan dari segi pendidikan sebagai penghalang untuk mencari rezeki.
Kepada ibu-ibu tunggal di luar sana, jangan pernah rasa diri tidak mampu melakukan apa-apa. Saya tahu mungkin ada dalam kalangan mereka yang kurang berpelajaran atau tidak mempunyai pengalaman yang luas.
Tetapi insya-Allah, kalau kita benar-benar percaya bahawa rezeki itu datang daripada Allah, rezeki akan sentiasa ada. Ini berdasarkan pengalaman dan pegangan saya sendiri.
Untuk rekod, Pija mendirikan rumah tangga pada 2014 sebelum bercerai dengan bekas suaminya pada 2022. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata.
Dalam perkembangan lain, Pija kini mahu kembali aktif dalam industri dan mengubati kerinduan peminatnya. Penyanyi itu menggunakan platform Bangkit: Bakat Yang Tak Pernah Padam iaitu sebuah kempen CSR Apresiasi Bakat Seni.
Selain Pija, kempen itu turut menampilan penyanyi Sahri iaitu bekas peserta Akademi Fantasi dan Fatin Faishal yang pernah menyertai program Lagu Cinta Kita di TV3.
The post Pija Yasin Nasihat Ibu Tunggal Perlu Bangkit, Bijak Cari Peluang Pekerjaan – ‘Tak Boleh Cengeng’ first appeared on OHBULAN!.





