Usahawan, Hanzat Azmi, membesar dalam keluarga sederhana di Kuala Lumpur sebagai anak keenam daripada sembilan adik-beradik, dan pernah tinggal di flat bersama keluarganya.
Siapa sangka, di sebalik jenama pakaian tempatan yang semakin dikenali, tersimpan kisah perjuangan Hanzat menempuh pelbagai cabaran demi kelangsungan hidup.
Artikel Berkaitan: Fashionably Modest Asia 2025: Modest Fashion Bertemu Kreativiti dan Elegan
Artikel Berkaitan: Hatta Dolmat Luah Hasrat Mahu Ibu Bapa Hadir Lihat ‘Fashion Show’ – ‘Tapi Saya Faham Mereka Segan’
Hanzat Azmi pilih baju Melayu praktikal

Namun, dari segi pengalaman hidup yang serba kekurangan itu lahirnya semangat waja seorang ahli perniagaan yang kini mula mencipta nama dalam industri fesyen tempatan.
Selama lebih enam tahun, Hanzat banyak berkecimpung di sebalik tabir bagi membantu memajukan pelbagai jenama tempatan sebelum akhirnya berani melancarkan jenamanya sendiri, iaitu Keris & Co. pada tahun 2024.
Minat saya memang ke arah fesyen dan dalam masa sama saya sendiri sering menghadapi masalah mencari baju Melayu yang selesa.
Kebanyakan fabrik panas, jika fabrik selesa potongan pula tidak kena dengan citarasa.
Daripada situ lahirnya sebuah idea bagi menghasilkan baju Melayu yang bukan sahaja selesa, tetapi praktikal untuk dipakai setiap hari, dan bukan hanya sesuai ketika musim perayaan sahaja.
Bermula dari bawah, Hanzat akan memastikan setiap proses penghasilan produk dilakukan secara tempatan, dari rekaan, jahitan sehingga ke pengeluaran juga di kilang tempatan.
Berpusat di Setapak, Kuala Lumpur, hasilnya berjaya mencatat kejayaan memberangsangkan dengan sebanyak 120,000 unit pakaian terjual setakat tahun ini.
Lebih membanggakan, hampir 70 peratus daripada pelanggannya kembali membuat pembelian semula selepas mencuba koleksi jenama tersebut.
Selesa di belakang tabir

Di sebalik kejayaan itu, terselit juga kisah pahit yang jarang dikongsi. Walaupun masih muda, Hanzat sudah melalui pelbagai cabaran dalam dunia perniagaan.
Sepanjang lapan tahun berniaga, saya pernah jatuh berkali-kali.
Pernah sampai satu tahap saya tiada duit dan terpaksa bawa Grab untuk teruskan hidup sebab perniagaan tak menjadi.
Saya pernah berniaga pelbagai produk sebelum ini, tetapi disebabkan masih muda dan tiada pengalaman, ada beberapa perkara yang terlepas pandang seperti aliran kewangan serta dokumentasi.
Dalam tempoh sukar itu, Hanzat turut menerima tawaran untuk menceburi bidang lakonan selepas beberapa kali muncul dalam iklan komersial.
Namun, dia memilih untuk menolak peluang tersebut.
Saya pernah dapat tawaran lakonan, tetapi saya tolak.
Saya lebih selesa berada di belakang tabir, lagipun dunia lakonan bukan minat saya.
Selain itu, sifat pemalunya yang kuat juga pernah menjadi halangan utama buat dirinya.
Malah, dia mengakui lebih selesa berada di belakang tabir sebagai kru teknikal berbanding tampil di hadapan kamera.
Saya memang bukan jenis orang di depan kamera. Saya introvert, sangat pemalu.
Tapi untuk jenama, saya cabar diri jadi live host.
Ketika memulakan jenama ini, semua saya harus lakukan sendiri dari segi idea, produksi pakaian sehinggalah jualan.
Waktu itu memang tiada orang lain, pekerja pun tidak ramai.
Jadi, suka atau tidak saya paksa diri untuk buat live untuk jualan.
Setiap hari saya akan live selama enam sehingga sembilan jam.
Sekarang, saya sudah boleh duduk depan kamera tanpa ada rasa malu.
Walaupun perniagaannya kini tertumpu kepada jualan dalam talian, Hanzat mula membawa jenamanya lebih dekat dengan masyarakat melalui pendekatan kreatif seperti penganjuran flashmob silat dan zapin, selain mengagihkan 100 helai kurta secara percuma di Pavilion, Bukit Bintang, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurutnya, inisiatif itu bertujuan untuk memperkenalkan jenama sambil mengangkat budaya tempatan dengan cara yang lebih segar dan moden.
Tahun hadapan kami nak buat lebih besar.
Tidak hanya untuk tujuan pemasaran dan memperkenalkan jenama, inisiatif ini juga adalah mahu mengangkat budaya dan tradisi kita ke tempat yang lebih tinggi sesuai dengan jenama kami.
Pada masa yang sama, jenama ini juga telah menembusi pasaran Singapura dan Brunei, dan merancang untuk membuka outlet fizikal serta memperkenalkan koleksi pakaian wanita bagi mengembangkan lagi pengaruh jenama tersebut.
Sempena musim raya tahun ini, jenama Keris & Co. menawarkan promosi yang menarik dengan harga mampu milik serendah RM39 sehingga RM129 untuk koleksi kurta dan baju Melayu yang diperbuat daripada fabrik ‘Japanese Cotton’ premium.
Pembelian boleh dibuat melalui laman rasmi website, serta platform TikTok dan Shopee.
The post ‘Pernah Satu Tahap Saya Tiada Duit & Terpaksa Bawa E-Hailing’ – Hanzat Azmi first appeared on OHBULAN!.





